528kg dadah disembunyi dalam Hutan Simpan Padang Besar berjaya dirampas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebanyak 528 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM19 juta berjaya dirampas polis di dalam kawasan Hutan Simpan Persekutuan, Padang Besar, Perlis pada 10 Januari.

Kejayaan polis mematahkan sindiket penyeludupan dadah itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun.

Hasil soal siasat dilakukan ke atas suspek terlibat sebelum ini telah membawa kepada penemuan lokasi penyimpanan dadah tersebut di kawasan hutan simpan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, berdasarkan pemeriksaan dilakukan di lokasi berkenaan, pihaknya menemukan 20 guni berjahit yang di dalamnya mengandungi 480 bungkusan plastik teh cina disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Guni tersebut diletakkan di dalam troli besi yang ditutupi ranting dan daun bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

“Hasil serbuan ini, kita merampas dadah jenis methamphetamine seberat 528 kilogram yang dianggarkan bernilai RM19 juta bersama aset seperti kereta, motosikal, jam tangan dan pelbagai lagi berjumlah RM515,545,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, lapor Utusan.

Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, susulan penahanan suspek terlibat, pihaknya turut menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun dipercayai terlibat dengan kes tersebut.

Mohd. Kamarudin berkata, modus operandi digunakan pihak sindiket adalah dengan menggunakan lorong-lorong tikus di kawasan hutan simpan Persekutuan malah mereka juga dipercayai telah aktif sejak tahun lalu.

“Lokasi dadah berkenaan ditemukan terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tiga kilometer dari kawasan sempadan negara.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan dapat digunakan oleh kira-kira seramai 2.6 juta orang penagih,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin berkata, hasil semakan dilakukan juga mendapati suspek terlibat mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut akan dijalankan selepas ini.

“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 10 dan 11 Januari lalu malah polis juga akan memohon lanjutan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat