OLEH: Dr Zach
Ada banyak peristiwa sejarah yang perlu diceritakan semula.
Dahulu apabila Dato’ Onn Jaafar meletak jawatan sebagai Presiden UMNO pada 25 Ogos 1950, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak tolak-menolak untuk menggantikannya. Akhirnya Tunku menjadi Presiden UMNO selepas diberi sokongan penuh oleh Tun Abdul Razak.
Pada tahun 1956, gandingan mereka berdua ke London dan berjaya mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada kolonialis pada 31 Ogos 1957.
Walaupun Tunku menjawat Presiden UMNO pada tahun 1950, tetapi Tanah Melayu hanya merdeka pada tahun 1957. Maknanya hanya selepas tujuh tahun Tunku menjadi Presiden UMNO, barulah menjadi Perdana Menteri sesudah Tanah Melayu merdeka.
Manakala, Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 1970 dan hanya menjadi Presiden UMNO dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1972.
Mengapa keadaan ini berlaku? Kenapa mengambil masa dua tahun? Ketika berlaku tragedi 13 Mei,1969, Tunku akhirnya mengalah kepada krisis keselamatan negara di mana Tunku sendiri mengadap Yang DiPertuan Agong dan mencadangkan nama Tun Razak sebagai penggantinya. Pada ketika itu, Tun Razak adalah Timbalan Presiden UMNO sahaja pun.
Tun Abdul Razak hanya menjadi Presiden UMNO pada tahun 1972 selepas melalui proses biasa dalam parti, iaitu selepas krisis keselamatan negara berjaya diredakan sepenuhnya. Maka menjadilah apa yang lumrah dalam UMNO iaitu Presiden UMNO adalah Perdana Menteri.
Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia di London pada tahun 1976, kepimpinan negara diambil alih oleh Tun Hussien Onn yang ketika itu hanyalah Timbalan Presiden jua. Hanya pada tahun 1978, barulah Tun Hussien Onn menjadi Presiden UMNO, sama seperti Tun Abdul Razak iaitu 2 tahun selepas menjadi Perdana Menteri.
Pada tahun 1981, Tun Hussien Onn mengalami kemerosotan kesihatan. Selepas berlaku banyak politiking dalam kepimpinan UMNO ketika itu, akhirnya Tun Hussien Onn memilih Tun Dr. Mahathir sebagai penggantinya. Pada ketika itu suasana politik negara aman damai, politik UMNO hanya berkocak di peringkat Naib-Naib Presiden UMNO sahaja. Maka ketika itu, berjalanlah dengan harmoni pasingan button daripada Tun Hussien Onn kepada Tun Dr. Mahathir. Sekali lagi, tradisi diteruskan Presiden UMNO adalah juga Perdana Menteri.
Sebaliknya, semasa Tun Abdullah Badawi dipilih sebagai Perdana Menteri, beliau masih menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO sahaja. Beberapa minggu kemudian, barulah Pak Lah menjadi Presiden UMNO selepas Tun Dr. Mahathir mengumumkan tidak bertanding. Seperti biasa, tradisi UMNO diteruskan iaitu Pak Lah tidak dilawan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri.
Semasa Dato’ Sri Najib diumumkan sebagai Perdana Menteri oleh Pak Lah, proses memilih Presiden UMNO dibuat awal di mana Pak Lah awal-awal lagi mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO.
Pada ketika itu, Najib menerima hampir sokongan penuh pencalonan daripada bahagian di seluruh negara, maka terlantiklah Najib menjadi Presiden UMNO. Beberapa hari berikutnya barulah Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Ianya peralihan kuasa yang tertib dengan mengekalkan tradisi Presiden UMNO adalah juga Perdana Menteri.
Tanpa menyentuh era kerajaan PH di bawah Tun Dr. Mahathir dan era Tan Sri Muhyiddin daripada BERSATU, mari kita lihat tradisi UMNO seterusnya.
Pemilihan Dato’ Sri Ismail Sabri, Naib Presiden (1) UMNO merupakan sejarah yang menarik.
Pertama, Ismail Sabri bukan Presiden atau pun Timbalan Presiden UMNO.
Bagaimana Ismail Sabri boleh menjadi Perdana Menteri? Jawapan mudahnya, peranan Raja-Raja Melayu. Kedua, konsensus parti-parti politik dan ahli-ahli parlimen. Ketiga, Allah SWT menunjuk pemimpin yang sesuai pada waktunya untuk memimpin Malaysia.
Ketika negara ditimpa krisis politik, pandemik Covid-19 dan banjir besar di lembah Klang, Allah SWT memberikan seorang Perdana Menteri yang berwatak sederhana dan humble tetapi mampu menyelesaikan isu-isu besar dengan bijaksana dan lemah-lembut tetapi berkesan.
Jika itulah realitinya, kenapa tidak lakukan sahaja proses tradisi UMNO, lantik Perdana Menteri menjadi Presiden UMNO sebagaimana berlaku kepada Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn dan Tun Abdullah Badawi?
Keputusan Mesyuarat MKT UMNO baru-baru ini sangat-sangat relevan menyokong dan mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Jika anda melihat kronologi Perdana Menteri daripada UMNO di atas, maka sewajarnyalah Perdana Menteri hari ini dilantik sebagai Presiden UMNO juga. Barulah betul! Barulah rakyat akan kembali memberi sokongan kepada UMNO dan Kerajaan pada PRU15 nanti.
Bagaimana hendak memecahkan kebuntuan ini? UMNO perlu ikhlas. Berhenti bermain teka-teki. Ianya hanya merugikan parti, bangsa dan negara.
Kesimpulannya, pesan isteri saya, kita berada di akhir zaman, bersatulah dan rapatkanlah saf, demi perpaduan dan keselamatan agama,bangsa dan negara kita.