RAM Ratings Unjur Pertumbuhan Lima Peratus KDNK Malaysia Tahun Depan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – RAM Ratings menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia perlahan kepada antara empat dan lima peratus pada 2023 daripada unjuran 8.2 peratus pada 2022.

Agensi penarafan itu berkata kelembapan ekonomi global dijangka menjejaskan eksport Malaysia manakala tekanan harga yang masih ketara dan keadaan monetari lebih ketat mungkin memberi kesan kepada penggunaan domestik.

“Permintaan domestik dijangka memacu ekonomi apabila perniagaan dan isi rumah pulih sepenuhnya selepas terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata asas Malaysia yang luas dan pelbagai akan mengurangkan tekanan yang semakin meningkat kepada pertumbuhan pada 2023.

RAM Ratings berkata pertumbuhan ekonomi juga akan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang lebih kukuh tahun depan dengan purata kadar pengangguran diunjurkan jatuh kepada 3.5 peratus daripada jangkaan 3.8 peratus pada 2022.

Ia berkata penyelesaian isu berkaitan pekerja asing dan rantaian bekalan juga harus memberikan dorongan tambahan untuk pertumbuhan.

Sementara itu, RAM Ratings berkata kemerosotan yang berlaku dalam ekonomi global dan/atau inflasi domestik adalah risiko penurunan utama untuk tahun depan.

Daripada segi fiskal, agensi penarafan itu berkata paras harga komoditi yang lebih sederhana dan seterusnya perbelanjaan subsidi yang berkaitan, mungkin dapat mengekalkan defisit fiskal pada 5.4 peratus daripada KDNK daripada unjuran 5.8 peratus pada 2022.

“Unjuran ini masih tertakluk kepada pelan rasionalisasi subsidi untuk barangan utama termasuk petrol dan tarif elektrik,” katanya.

Ia berkata dengan ‘status quo’ (tiada sebarang perubahan), ruang fiskal semasa kekal terhad dengan hutang kerajaan diunjurkan mencecah RM1.1 trilion pada 2023 atau 62.4 peratus daripada KDNK dan pembayaran hutang pada 16.9 peratus daripada jumlah unjuran hasil untuk 2023 daripada jangkaan sebanyak 15.1 peratus pada 2022. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat