ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai menjalankan aktiviti mencatit pertaruhan tanpa lesen, Bookie Bola Sepak Piala Dunia Qatar secara dalam talian dalam serbuan malam tadi.
Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Unit Pencegahan Perjudian Bukit Aman dan Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah jam 1 pagi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis di Simpang Kuala sebelum pasukan serbuan bersama tangkapan sebagai pandu arah kemudian membuat serbuan di sebuah rumah di Simpang Empat dan merampas barang kes berkait kegiatan pertaruhan bookie Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.
Beliau berkata, lelaki terbabit menjalankan kegiatan perjudian Catit Taruh Bookie Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022 secara atas talian dengan menggunakan laman sesawang m149.168977.net (Nova88) dengan had kredit RM150,000, obook33.in (had kredit RM100,000) sbk5.obfun123.com (had kredit (RM100,000) dan maxgoal88.com (had kredit RM20,000).
“Suspek menjalankan kegiatan ini kira-kira dua bulan lalu dengan mensasarkan pelanggan warganegara Malaysia untuk pertaruhan sempena Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022 dan perlawanan bola sepak untuk lain – lain piala liga.
“Segala urusan pendaftaran atau pembayaran adalah secara atas talian dan tunai,” katanya.
Wan Hassan berkata, suspek menggunakan medium media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan laman web bagi tujuan promosi kepada pelanggan.
Katanya, pelanggan akan berhubung terus dengan lelaki itu dan ejen bawahannya bagi urusan mendapatkan kredit atau memperoleh duit kemenangan, kredit pertaruhan akan dibayar oleh pelanggan dengan menggunakan bank secara atas talian dan secara tunai.
“Minimum pembelian kredit adalah RM10 dan minimum pembayaran kemenangan adalah RM100 serta menerima pertaruhan melalui panggilan telefon dan juga bersemuka dengan pelanggan.
“Dia dipercayai memperoleh hasil kutipan harian antara RM4,000 hingga RM5,000 sehari hasil daripada kegiatan ‘bookie bola sepak’ secara dalam talian ini,” katanya.
Selain itu, pakar Judi juga turut hadir dan membuat analisa terhadap barang kes yang ditemui termasuk sebuah komputer riba serta telefon bimbit dirampas untuk membantu siasatan.
Katanya, tangkapan serta barangan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan. – Hmetro