SOP sambutan Krismas, Thaipusam sedang diperinci kerajaan – Hishammuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Prosedur operasi standard (SOP) perayaan Krismas dan Thaipusam sedang diperhalusi kerajaan dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat, serta penularan varian Omicron COVID-19.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata bagi perayaan Krismas, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga, persembahan secara langsung, upacara nyanyian koir dari rumah ke rumah dan gerai jualan Krismas.

Manakala bagi perayaan Thaipusam pula, Hishammuddin berkata menerusi perbincangan bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang di kuil.

Beliau berkata turut diberikan tumpuan adalah perjalanan dan pergerakan kereta ‘Chariot’, membawa kavadi, membawa Paal koodam atau belanga susu, mencukur rambut, upacara ritual (mandi) di sungai dan pembukaan gerai jualan.

“Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perpaduan Negara dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat-tempat persinggahan sepanjang perjalanan dan pergerakan kereta Chariot,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan dalam kenyataan pada Selasa.

“Penting untuk difahami, dalam menentukan setiap SOP, keutamaan kerajaan ialah keselamatan dan kesihatan rakyat terutamanya mengambil kira penularan varian Omicron di seluruh dunia ketika ini.

“Saya juga faham, hujung tahun seperti sekarang, ramai akan pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga. Pastikan pakai pelitup muka, elakkan tempat sesak, dapatkan dos penggalak jika layak, lakukan ujian COVID-19 secara berkala dan paling penting amalkan TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan rawatan),” katanya.

Hishammuddin berkata pada mesyuarat kuartet yang diadakan hari ini, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Saravanan dijemput untuk duduk semeja dengan pihak KKM serta pihak berkepentingan bagi menyelaras SOP bagi Krismas yang akan disambut 25 Dis ini manakala Thaipusam pada 18 Jan 2022.

Sehubungan itu, beliau memohon jasa baik orang ramai supaya mematuhi setiap SOP yang bakal diumumkan Kementerian Perpaduan Negara kelak dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab selari dengan matlamat kerajaan menerusi usaha ‘Reopening Safely’ atau pembukaan semula dengan selamat.

Sementara itu, Hishammuddin turut memaklumkan Saravanan telah diminta untuk memperjelaskan situasi sebenar berhubung SOP kemasukan pekerja asing seterusnya mencadangkan pendekatan bersesuaian bagi menangani situasi berkenaan dalam mesyuarat kuartet hari ini.

“Penting untuk saya tegaskan, pada pihak Mesyuarat Kuartet, fokusnya hanyalah terhadap penambahbaikan dari sudut prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pascakuarantin.

“Untuk menentukan jumlah kemasukan pekerja asing, ia bukan di bawah bidang kuasa mesyuarat kuartet sebaliknya di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Hishammuddin berkata SOP baru tersebut telah pun tersedia dan diselaraskan namun ia banyak bergantung kepada jumlah kuota yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Beliau berkata Kabinet yang bermesyuarat pada 10 Disember lepas telah meminta menteri kuartet memperhalusi kaedah yang selamat untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing.

Hishammuddin berkata ia mengambil kira banyak kelonggaran yang telah diberikan terhadap sektor ekonomi sejak beberapa bulan lepas namun ada sebahagian pengusaha mengalami kesukaran untuk merancakkan semula perniagaan kerana kekurangan pekerja berikutan SOP kemasukan pekerja asing yang agak ketat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,613FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat