Wang UMNO, SUPP Dipulangkan Semula SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wang milik UMNO Bahagian Pekan (UMNO Pekan) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) masing-masing berjumlah RM700,000 dan RM188,138.26 yang sebelum ini disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah diserahkan kepada kedua-dua parti itu.

Wang yang disita daripada UMNO Pekan dan SUPP, dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didakwa dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Abdul Rashid Sulaiman memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh semasa prosiding pengurusan kes tadi.

“Pihak bank sudah mengembalikan wang berjumlah RM700,000 kepada UMNO Pekan dan wang RM188,138.26 kepada SUPP.

“Oleh itu, pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah sebelum ini yang menolak permohonan kami bagi melucut hak wang UMNO Pekan dan SUPP,” kata Abdul Rashid.

Ahmad Shahrir mengambil maklum perkara itu dan memutuskan untuk membatalkan kedua-dua permohonan pihak pendakwaan berkenaan.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah pada Oktober lalu, dengan menamakan UMNO Pekan dan 40 individu lain sebagai responden, termasuk Najib serta anaknya Datuk Mohd Nizar, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, sementara permohonan bagi SUPP difailkan pada September lalu.

Pada 17 September lalu, Ahmad Shahrir menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang UMNO Pekan, selepas mendapati SPRM selaku pemohon gagal membuktikan bahawa wang RM700,000 yang disita itu, adalah hasil daripada aktiviti haram.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir antara lain berkata kesemua responden menyatakan jumlah RM700,000 telah digunakan untuk perbelanjaan utiliti, pembelian peralatan dan pembayaran lain untuk UMNO Pekan dan baki dalam akaun UMNO Pekan tidak berasal daripada akaun Najib yang dibekukan.

Semasa keputusan permohonan pendakwaan melucut hak wang RM188,138.26 daripada SUPP pada 19 Ogos lalu, Ahmad Shahrir menolak permohonan itu setelah mendapati SPRM tidak mengemukakan keterangan mencukupi bagi menyokong permohonannya bagi mahkamah mengeluarkan perintah untuk membenarkan pelucutanhak itu.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan pelucutan hak mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) telah difailkan terhadap 41 responden, untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB dan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

Sementara itu, Abdul Rashid ketika ditemui berkata, rayuan yang difailkan pihak pendakwaan terhadap kedua-dua keputusan itu di Mahkamah Rayuan masih diteruskan, bagaimanapun tarikh pendengaran rayuan belum ditetapkan – Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat