Polis Selangor sangkal jual semula dadah dirampas

  • KUALA LUMPUR – Polis Selangor menyanggah dakwaan tidak berasas daripada mana-mana pihak yang menuduh kononnya polis menjual semula atau melepaskan dadah-dadah yang dirampas ke pasaran.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, berkata tuduhan sedemikian adalah tidak benar dan menjejaskan imej, kepercayaan terhadap pasukan keselamatan sentiasa komited memerangi dadah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontijen Selangor melaksanakan pelupusan barang kes dadah setiap tahun mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi kes-kes yang selesai di mahkamah.

“Semua dadah yang dirampas diuruskan dengan penuh ketelitian, bertanggungjawab dan integriti berlandaskan kepada prosedur siasatan serta peruntukan undang-undang sedia ada.

“Setiap gram dadah yang dirampas direkodkan dan akan dipersoalkan semasa proses perbicaraan di mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Pelupusan Barang Kes Dadah dan Kertas Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, lapor BH di Shah Alam pada Jumaat.

Shazeli berkata, ini terbukti pada hari ini apabila sejumlah 596.2 kilogram dan 2,744 liter campuran pelbagai jenis dadah yang telah selesai proses perbicaraan di mahkamah dilupuskan bagi tahun ini.

“Bagi tempoh tahun 2020 hingga 2025 akan dilupuskan dengan nilai keseluruhan RM10.3 juta membabitkan dadah jenis ganja, syabu, serbuk ekstasi, daun ketum, MDNA, heroin, serbuk disyaki dadah, Erimin 5, Ketamin, pil ekstasi, cecair disyaki dadah, air ketum dan kodein.

“Kesemua dadah ini dihantar ke tapak pelupusan dadah melalui syarikat yang dilantik oleh kerajaan iaitu Cenviro Sdn Bhd di Bukit Pelanduk Port Dickson Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, bermula Januari sehingga Oktober 2025, polis membuka sebanyak 30,214 kertas siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dengan jumlah tangkapan 34,010 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 775 individu ditangkap sebagai pengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis juga melaksanakan tindakan pencegahan mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 iaitu dengan menahan seramai 102 orang yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah sepanjang tahun ini.

“Bagi kesalahan penagih dadah berulang, 983 orang dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) hukuman mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, dalam usaha melumpuhkan rangkaian sindiket dadah secara habis-habisan, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai jenis aset serta sumber kewangan yang dianggarkan bernilai RM18.32 juta.

“Selain pelupusan barang kes dadah, Polis melupuskan sebanyak 12,178 kertas siasatan bagi tempoh 1995 sehingga 2019 akan dilupuskan sebagai langkah pengurusan rekod yang lebih teratur dan patuh,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat