Menteri Kewangan II dedah tiga faktor luar jangka sebabkan kegagalan FV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan tiga faktor luar jangka yang menyebabkan kegagalan syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet (FV).

Katanya, perkara itu berlaku ketika syarikat terbabit ingin mencapai aspirasinya membolehkan pelanggan membeli belah melalui pelbagai saluran dengan memberi fokus menambahrangkaian kedai fizikal.

“Pertama, implikasi Covid-19 ketika FV menambah kedai fizikalnya secara pesat. Namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan menghalang perniagaan fizikal FV, mengakibatkan pasaran dan pakaian premium termasuk tudung merosot secara ketara.

“Malah, kedai fizikalnya kurang mendapat sambutan hingga terpaksa ditutup.

“Faktor kedua adalah perkembangan pesat jenama fesyen tempatan terutama fesyen sopan yang menggunakan platform tersendiri seperti melalui (contohnya) Facebook, ini menyebabkan FV berdepan saingan hebat.

“Oleh itu, platform FV terpaksa ditutup seterusnya dan ia terpaksa beralih fokus kepada jenama sendiri seperti Duck dan Lilit,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan asal Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu dalam kes FV, apakah faktor mempengaruhi kegagalan syarikat terbabit.

Katanya, faktor ketiga menyebabkan kejatuhan FV adalah cabaran dalam mengumpul dana, sekali gus menyebabkan kekangan dalam aliran tunai syarikat terbabit.

“FV berusaha untuk mengumpul dana baru untuk mengatasi masalah ini tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan cara menambah pelaburan (dalam FV).

“Malah pasaran pengumpulan dana yang mencabar pada ketika itu menyebabkan proses terbabit tidak berjaya,” katanya.

Kata beliau, FV memerlukan suntikan modal daripada pelabur baharu untuk bertahan, namun ini tidak berlaku memandangkan tidak banyak tawaran diterima bagi tujuan itu.

Mengulas lanjut, katanya, Khazanah dan PNB mengakui hasil pelaburannya dalam FV tidak selari dengan unjuran pulangan pelaburan.

“Bagaimanapun kerajaan akan meneliti dan akan terus memberi perhatian bagi memastikan tadbir urus GLC terus kukuh.

“Memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes ini dan audit dalaman juga masih berjalan, Khazanah dan PNB perlu diberi ruang untuk proses siasatan diselesaikan.

“Segala dapatan yang dimuktamadkan nanti akan digunakan untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus (kedua-dua GLIC) terbabit,” katanya.

Dalam pada itu Amir Hamzah berkata, isu FashionValet tidak akan menjejaskan keinginan Khazanah untuk terus melabur dalam syarikat pemula.

“Pelaburan modal teroka (VC) masih kekal dalam mandat Khazanah dan Khazanah akan meneruskan usaha untuk menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambahbaik mekanisme kawalan.

“Khazanah telah menyediakan suatu dana khusus melalui Dana Impak dengan tujuan melabur bagi meningkatkan daya saing ekonomidan membina daya tahan negara, sambil menghasilkan manfaat dan impak sosioekonomi kepada rakyat, terutamanya untuk syarikat pemula dan modal teroka,” jelasnya lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat