KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tampil memperbetul salah faham kononnya parti itu mampu merungkai masalah tiga serangkai di Sabah iaitu krisis bekalan air, elektrik dan baiki jalan dalam tempoh masa singkat jika diberi peluang mentadbir negeri itu.
Sebaliknya tegas Shafie, kerajaan pimpinannya hanya mampu berjanji untuk mengatasi masalah bekalan air di Sabah dalam tempoh setahun pentadbiran bukan sekali gus penyelesaian masalah elektrik dan jalan di Sabah seperti didakwa.
“Ada perkara yang harus diperbetulkan, kita (Warisan) yakin bhawa kita boleh mengatasi masalah air di peringkat negeri Sabah dalam jangka masa setahun. Ini berhubung kait krisis bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hospital dan kemudahan lain.
“Kita fokus kepada rawatan air, di Tawau misalnya kita akan tambah kapasiti dan menyelesaikan masalah agihan akibat kebocoran.
“Perkara ini boleh diatasi dalam jangka masa pendek, saya tidak sebut selesaikan masalah tiga serangkai. Kita akan keperluan bekalan air di hospital dan hotel yang menjejaskan pelancong.
“Tapi masalah tiga serangkai saya tidak kata. Saya tak kata saya boleh selesaikan masalah jalan raya satu tahun. Takkanlah saya akan selesaikan masalah bekalan elektrik setahun, itu tak betul,” katanya ketika sidang media pada Selasa.
Shafie yang juga penyandang DUN Senallang juga mengingatkan bahawa Warisan sudah berjaya memperjuangkan 17 daripada 21 Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bagi kita peluang tadbir Sabah dan saya akan buktikan kepada kamu bahawa kami boleh lakukan lebih baik berbanding kamu (GRS).
“Saya berharap dalam keadaan hari ini DUN sudah dibubarkan tidak ada kontrak-kontrak yang ditandatangani sekarang kerana ini bukan lagi kerajaan (caretaker) government saja. Saya harap perjalanan kontrak -kontrak yang lalu harus dilakukan secara baik.
“Jadi saya ulangi tidaklah saya sebutkan boleh selesaikan segera masalah tiga serangkai cuma air saja,” tegas Ahli Parlimen Semporna itu lagi.
Shafie juga menjelaskan bahawa beliau pernah sebut Pan Borneo kepada lima Perdana Menteri dalam perbahasan di Parlimen namun masih tidak selesai.
“Pengurusan Pan Borneo (dikendali) Kerajaan Persekutuan bukan saya lantik dan tamatkan kontraktor sampai sekarang masih lagi kontraktor berjalan. Janganlah cerita tiga serangkai.
“Air saya yakin saya boleh selesaikan dalam jangka masa pendek,” katanya.
Beliau malah memberitahu sewaktu Warisan mentadbir Kerajaan Sabah tidak berlaku masalah air.
“Hospital, hotel tidak ada air.
“Kita ada rancangan dan susun, jadi isu air kita mampu selesaikan masalah keperluan rakyat.
“Bagi kami kuasa dan kami boleh lakukn lebih baik berbanding kamu
“Apa yang penting bahawa dalam pilihan raya kali ini kita nak menentukan siapa jadi kerajaan, siapa jadi pimpinan yang ada di sini bagilah kepada orang-orang Sabah yang layak,” seru beliau.



