Bung Moktar desak Shahelmey, Andi Suryadi kosongkan kerusi Parlimen jika tanding PRN tiket GRS
TAWAU – Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) digesa mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing jika mereka bertanding atas logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sidang media semalam di Kota Kinabalu berkata, tindakan Datuk Shahelmey Yahya (Putatan) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi (Kalabakan) boleh diambil di bawah Akta Anti Lompat Parti.
“Kalau ikut Akta Anti Lompat Parti, mana-mana (ahli) parti berpindah parti, dia perlu digugurkan daripada memegang jawatan selaku Ahli Parlimen.
“Dia hilang kelayakan.. (Adakah kerusi perlu dikosongkan?) Perlu,” katanya dalam sidang media.
Ditanya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan, Bung Moktar menjelaskan ia bergantung kepada tempoh baki penggal Parlimen.
Di Malaysia, menurut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang Ahli Parlimen kehilangan kelayakan atau kerusinya dikosongkan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu.
Bagaimanapun, jika tempoh penggal Parlimen telah melebihi tiga tahun, maka tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi menggantikan kerusi tersebut.
Bung Moktar percaya bahawa BN Pusat sedang meneliti kedudukan mereka dan tindakan terhadap kedua-dua Ahli Parlimen itu memandangkan mereka memiliki perjanjian.
Beliau turut menjelaskan BN Sabah akan mengambil beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan isu lompat parti dalam kalangan calonnya yang menang pada PRN-17 akan datang.
Antara pendekatan itu, ujarnya ialah melalui perjanjian bersama calon-calon yang bakal diketengahkan.
“Saya cukup yakin calon-calon kali ini, kita pilih mereka yang ada kesetiaan dalam parti.
“Kita lihat selama ini dalam pembangkang pun mereka tidak goyah. Jadi, saya yakin bukan macam calon-calon yang dulu, yang menjadi pengkhianat,” tegas Adun Lamag itu lagi.
Shahelmey yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, manakala Andi penyandang kerusi DUN Tanjung Batu dilapor menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket GRS pada pilihan raya, akan datang.
Bung Moktar sebelum ini telah mencabar Shahelmey dan Andi Suryady supaya membuktikan kekuatan mereka dalam PRN-17 tanpa bergantung kepada pengaruh BN.
Kedua-dua mereka digantung keahlian dalam Umno selama 6 tahun sejak awal 2023 selepas didakwa menentang keputusan Umno Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan GRS melalui ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.



