KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran memanfaatkan peluang Malaysia mempengerusikan Asean pada 2025 untuk memuktamadkan pertikaian di Laut China Selatan.
Anwar bahkan disyor untuk lebih tegas dan tidak terlalu berlembut dengan tekanan China berkait nine dash-line di perairan Laut China Selatan.
Bekas Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu Anwar pentas Asean 2025 akan menjadi platform Malaysia dan Asean amnya menunjukkan taring dengan menyatakan kepada China secara diplomasi bahawa tuntutan nine dash-line adalah tidak sah bersandarkan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
“Saya rasa bila sesebuah negara ambil alih sebagai Pengerusi Asean, dia kena meningglkan satu legasi sewaktu jadi pengerusi dan sudah pasti Malaysia bukan negara kecil dalam Asean, kita adalah negara yang paling berpengaruh dalam Asean.
“Saya ingin cadangkan beberapa perkara, platform Asean boleh ada satu usaha untuk memuktamadkan Code of Conduct (COC) Laut China Selatan ia sudah lama dibincang tapi belum dapat dimuktamadkan, mesti berlandaskan UNCLOS.
“Sebab kalau tak ada COC ia akan menjadi flashpoint yang sangat bahaya yang boleh meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan ini, ia perairan sangat penting bagi dagangan, perkapalan kargo, mineral iaitu gas dan minyak.
“(Pertikaian Laut China Selatan) ini jika boleh selesaikan waktu Malaysia jadi pengerusi lebih baik kalau tidak, almost take it to the finish line,” syor Khairy dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Isnin.
Pun begitu, beliau menyedari wujud dilema kerana ada pihak berpendapat bahawa kononnya pendekatan Malaysia terlalu lembut.
“(Memang) kita tak ada kemampuan untuk berdepan dengan aset tentera laut dan kapal pengawal pantai China, dan ada yang minta supaya kita lebih tegas terutamanya apabila berlaku pencerobohan dan kita tahu ada beberapa pencerobohan yang telah pun berlaku di Laut China Selatan
kena tunjuk negara ada taring juga jangan sampai kena buli.
“Kena nyatakan dari semasa ke semasa nine dash line (yang dituntut China) tak sah,” tegas beliau.
Khairy bagaimanapun mengakui Malaysia tersepit antara dua kuasa besar dunia iaitu China dan Amerika Syarikat (AS) justeru Anwar memilih jalan diplomasi.
“Malaysia dalam keadaan tersepit, kita tak nak dilihat rapat sangat dengan AS atau China. Sebab itu Asean penting untuk kita dapatkan kata putus daripada semua negara Asean.
“Dalam hal pertikaian laut, Vietnam dan Filipina mempunyai pendirian yang sedikit lebih tegas daripada kita (Malaysia) berkenaan pencerobohan China,” katanya.
Selain itu platform kepengerusian Asean 2025 wajar dimanfaatkan Malaysia untuk mencari jalan meningkatkan lagi penyelarasan regional supply chain.
Kata Khairy, Malaysia boleh gunakan semua negara dalam Asean sebagai rantaian bekalan kepada dunia apabila ada masalah antara AS dan China.
“Bila ramai diplomat datang sini kita promote Malaysia dan Asean sebagai regional supply chain, selain itu, integrasi digital untuk menggandakan saiz ekonomi digital Asean dan ini akan jadi legasi yang akan diingati bertahun-tahun, juga pembangunan tenaga hijau.
“Buat masa ini, pendirian Malaysia berkait persaingan China dan AS, apa yang dipaparkan Anwar ialah balancing, beliau pakar mengimbang antara kedua-duanya,” ujar Khairy lagi.
Sementara itu, Shahril Hamdan menyatakan, cabaran utama Anwar dalam mempengerusikan Asean 2025 ialah menjadikan Asean sebagai entiti pembuat keputusan bukan sekadar tempat berbincang.
“Asean itu jangan jadi hanya tempat berbincang tetapi keputusan tak melaluinya, jadi ini perkara berpanjangan.
“Perdana Menteri ada peluang untuk tunjukkan Asean adalah pusat.
“Di bawah kepengerusian Anwar, ini satu cabaran kemampuan beliau untuk cakap kepada AS dan China serta kuasa-kuasa luar lain yang menjadi pihak berkepentingan dalam rantau kita ini bahawa dalam urusan-urusan yang mustahak dan besar, kamu mesti melalui Asean dan gunakan platform Asean,” tegas beliau.