DAP cadang pinda Akta sebagai langkah pertama sebelum Pilihan Raya Majlis Tempatan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 bagi membolehkan Ahli Majlis dilantik sama seperti dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara sebagai langkah pertama ke arah mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan bagi Kuala Lumpur pada masa hadapan.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, DAP memahami bahawa sentimen dan realiti politik untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan pastinya mendapat tentangan daripada banyak pihak.

“Ketika ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mempunyai Lembaga Penasihat dan bukannya Ahli Majlis dilantik. Dalam PBT, terdapat Ahli Majlis dilantik dan ia bertanggungjawab dalam setiap keputusan dibuat.

“Saya rasa sebagai langkah pertama, sistem pelantikan ini boleh digunakan, dan akhirnya matlamat utama kita adalah untuk mengadakan pilihan raya majlis tempatan, sambil mengambil kira beberapa kekangan yang ada ketika ini.

“Ini mungkin satu pendekatan progresif yang boleh dipertimbangkan. Sudah tentu, kita perlu membawanya ke Majlis Pakatan Harapan untuk pertimbangan sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Sebelum itu, Naib Presiden DAP, Teresa Kok berkata, akta yang diguna pakai oleh Kuala Lumpur tidak sama seperti PBT dan sebab itu Ahli Majlis tidak boleh dilantik di wilayah berkenaan.

“Semua PBT di seluruh negara adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, tetapi disebabkan Kuala Lumpur adalah sebuah ibu kota jadi akta yang ditadbir adalah Akta Ibukota.

“Jika dibandingkan dengan kandungan kedua-dua akta berkenaan, memang tiada pelantikan jawatan Ahli Majlis seperti termaktub dalam Akta Ibukota.

“Adalah sangat penting bagi Kerajaan Madani untuk meminda akta berkenaan supaya Kuala Lumpur akan sama seperti semua PBT di seluruh negara,” katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Negeri Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dalam ucapan aluannya sempena konvensyen itu berkata, parti itu bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha mencadangkan reformasi dengan melaksanakan sistem pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur seperti diamalkan oleh PBT.

Beliau berkata, langkah itu mampu memperkasakan demokrasi tempatan dan membawa sistem pentadbiran Kuala Lumpur ke arah pilihan raya Kerajaan Tempatan.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat