Cyberjaya – Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng menggesa PAS membuktikan keikhlasan cadangan mereka untuk memperkenalkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan dengan terlebih dahulu melaksanakannya di pra sekolah milik parti itu, PASTI.
Gesaan itu dibuat sebagai respon terhadap cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar PAS semalam, yang mencadangkan agar bahasa Mandarin dan Tamil diperkenalkan sebagai subjek di sekolah kebangsaan bagi memupuk perpaduan nasional dan mengikis rasa curiga antara kaum.
Menurut Tuan Ibrahim, halangan bahasa sering menimbulkan salah faham antara masyarakat, justeru pembelajaran bahasa masing-masing akan mengukuhkan persefahaman.
“Kita mesti tampil sebagai parti yang menyelesaikan masalah, bukan sekadar membangkitkan masalah. Semua pihak tahu masalahnya, tetapi apa penyelesaiannya? Halangan bahasa adalah salah satu punca. Dengan menguasai bahasa lain, kita boleh mengurangkan rasa curiga itu,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Sayap Penyokong PAS di Sungai Petani, Kedah.
Namun, Lim Lip Eng menyifatkan cadangan itu sebagai retorik semata-mata sekiranya PAS tidak sanggup melaksanakannya dalam sistem pendidikan pra sekolah mereka sendiri.
“Jika benar ikhlas, PAS perlu terlebih dahulu melaksanakan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di PASTI. Jangan hanya pandai berucap di pentas tetapi gagal membuktikan kesungguhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim turut mengingatkan bahawa kedua-dua bahasa itu sebenarnya telah lama ditawarkan sebagai subjek tambahan di sekolah kebangsaan.
“Cadangan ini jelas membuktikan Tuan Ibrahim tidak memahami sistem pendidikan sedia ada, atau lebih buruk, sengaja mahu memainkan sentimen perkauman dengan menimbulkan isu yang tidak wujud,” tegasnya.
Beliau juga mempersoalkan sama ada cadangan itu adalah pandangan peribadi Tuan Ibrahim atau pendirian rasmi PAS.
“Jika ia hanya retorik peribadi, janganlah isu pendidikan anak-anak dijadikan bahan politik murahan. Tetapi jika ini benar-benar dasar baharu PAS, maka buktikan dengan pelaksanaan segera di PASTI,” katanya.



