93,819 pekebun kecil Sarawak layak memohon bantuan RM400 sebulan

SARIKEI – Seramai 93,819 pekebun kecil di Sarawak dikenal pasti layak memohon bantuan tunai RM400 sebulan menerusi Program BUDI Agri-Komoditi, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program itu diperluas kepada petani dan pekebun kecil di Sabah serta Sarawak susulan pengumuman kerajaan pada 22 Jun lalu.

Menurutnya, bantuan tersebut diperkenalkan selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel bagi membantu mengurangkan beban golongan berkenaan.

“Menerusi program ini, sumbangan tunai sebanyak RM400 sebulan disediakan kepada pekebun kecil dalam sektor sawit, getah, koko, lada dan kenaf yang berdaftar dengan agensi di bawah KPK serta memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

“Berdasarkan rekod sehingga Jun 2026, seramai 93,819 individu di Sarawak dikenal pasti layak memohon, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Agrikomoditi MADANI di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.

Noraini berkata, wakil agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ditempatkan di karnival berkenaan bagi memberikan penjelasan mengenai kelayakan, pendaftaran dan tatacara permohonan BUDI Agri-Komoditi.

Beliau turut meminta semua agensi memberikan penerangan yang mudah dan membantu pekebun kecil yang memerlukan.

“Bantuan yang baik tidak membawa makna jika maklumatnya tidak sampai atau masyarakat tidak tahu cara untuk memanfaatkannya,” katanya.

Menurut Noraini, pekebun kecil kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos input pertanian dan bahan api, tanaman semakin tua, kekurangan tenaga kerja, perubahan cuaca, serangan penyakit serta kesukaran membawa hasil ke pasaran.

Justeru, katanya, sokongan kepada pekebun kecil tidak boleh terhenti pada pemberian peralatan atau insentif semata-mata.

Sebaliknya, mereka turut memerlukan khidmat nasihat, latihan, teknologi, kemudahan asas dan akses kepada pasaran bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan.

Beliau berkata, teknologi dan mekanisasi boleh meringankan beban kerja, menjimatkan masa serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia.

Bagaimanapun, teknologi yang diperkenalkan perlu bersesuaian dengan keadaan kebun dan kemampuan pekebun kecil, selain disertai latihan serta bimbingan.

Noraini berkata, kejayaan sektor agrikomoditi tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pengeluaran atau nilai eksport semata-mata.

Sebaliknya, kejayaan itu perlu diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih baik, kos yang lebih terkawal dan peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat.

“Jika pekebun kecil terus bekerja keras tetapi nilai terbesar dinikmati oleh pihak lain dalam rantaian, kita masih belum mencapai kejayaan yang sebenar,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat