KUALA LUMPUR – Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menegur dan meminta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar menjaga percakapan ketika berada di pentas politik.
Pemimpin veteran PAS itu membuat teguran berkenaan untuk mengelakkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu mencetuskan kontroversi yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja (3R).
Teguran Hasim itu menyusul selepas Muhammad Sanusi dalam ucapannya pada satu program ceramah anjuran PN baru-baru ini, didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Menurut Mursyidul Am PAS itu, mana-mana pemimpin, termasuk Muhammad Sanusi perlu lebih bertenang.
“Sanusi, tak kiralah pemimpin mana pun, perlu lebih bertenang,” katanya sambil mengakui Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai pemimpin PAS yang ‘agak keras’.
Hashim seperti dilaporkan portal berita FMT, berkata ucapan yang menyentuh sensitiviti seolah-olah sukar dielak ketika pemimpin politik berada dalam ‘mood’ pilihan raya.
“Bila berada atas pentas (ceramah politik), kemungkinan itu ada (tidak boleh kawal percakapan) kerana kita dalam ‘mood’ pilihan raya. Perkara itu boleh timbul,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap semua pihak berlapang dada dan memaafkan sesama sendiri untuk mengelak pertikaian berlanjutan hingga ke mahkamah.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan setakat jam 11 pagi tadi terhadap Menteri Besar Kedah berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Beliau juga memaklumkan, polis selesai merakam keterangan Muhammad Sanusi pada jam 2 pagi tadi di sebuah hotel di ibu negara dengan proses dijalankan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Siasatan terhadap Menteri Besar dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, menjurus isu 3R (agama, kaum dan raja).
Muhammad Sanusi sebelum ini turut mencetuskan kontroversi menerusi Podcast ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan Isnin lalu apabila mendakwa bukan Islam paling ramai ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima rasuah. – BH