UMNO Terus Dihantui Isu Integriti – Penganalisis

- Advertisement -

PETALING JAYA: UMNO terus dihantui isu integriti dalam kalangan pemimpinnya sekali gus punca parti itu ditolak majoriti rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun enam dekad menjadi kerajaan.

Faktor berkenaan terus berlarutan sehingga generasi muda masa kini juga menolak parti tersebut kerana terlalu bosan dengan corak kepemimpinan yang tiada pembaharuan.

Sehubungan itu, UMNO memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja mampu menyelesaikan perpecahan melanda parti itu sendiri tetapi lebih penting mampu membawa agenda negara seterusnya menerajui semula kerajaan.

Antara ciri-ciri pemimpin UMNO yang perlu diketengahkan ialah memahami aspirasi rakyat dan membawa agenda negara dalam mendepani pasca Covid-19 selain kena ada ‘faktor wow’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, buat masa ini kepimpinan UMNO masih dibarisi pemimpin ‘kitar semula’ yang bukan sahaja berlaku di peringkat pusat malah melibatkan tampuk pimpinan bahagian yang dilihat masih memegang kuasa lebih 30 tahun.

Justeru, menurut beliau, UMNO perlu segera menonjolkan pemimpin berwajah baharu yang mampu membawa isu-isu rakyat yang sedang sengsara berdepan pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, UMNO sendiri sedang bergelut dengan perpecahan dengan satu pihak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) manakala satu pihak lagi menolaknya.

“Jadi dalam menangani krisis ini, UMNO perlu ada seorang pemimpin pertengahan yang mampu menyelesaikan kedua-dua pertikaian yang tidak reda-reda.

“UMNO perlu mencontohi DAP dan PKR yang membariskan lapisan pemimpin muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan. Tetapi dalam UMNO belum ada lagi, asyik muka sama dan akhirnya mereka gagal melahirkan pemimpin baharu, akhirnya orang muda pun tidak minat menyokong UMNO.

“Mereka kena ingat jumlah pengundi muda adalah terbanyak dan mereka cenderung kepada bakal wakil rakyat yang mempunyai aspirasi rakyat. Jika UMNO tiada ke arah ini, UMNO akan tersungkur kembali seperti pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Melihat kepada barisan pemimpin UMNO masa kini, rata-rata masih dikuasai individu berusia 50 tahun dan ke atas yang bukan sahaja berlaku di peringkat pusat malah di peringkat bahagian dan cawangan.

Malah ada segelintir dalam kalangan mereka sudah mewarnai politik lebih 30 tahun manakala ramai juga yang terpalit dengan isu-isu moral dan berdepan kes-kes mahkamah.

Bagaimanapun, kata Mazlan, UMNO masih memerlukan keseimbangan pemimpin lama dan baharu untuk mencorakkan hala tuju parti agar tidak tersasar daripada perjuangan orang Melayu, namun gaya kerja mesti berubah mengikut peredaran zaman.

“Ada lagi pemimpin UMNO yang tidak pandai tackle orang muda dan isu-isu rakyat serta mereka seolah-olah bergelut dengan kuasa, bukannya kesusahan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, terdapat segelintir pemimpin UMNO masih bersikap elit dan seolah-olah berwajah ‘hulubalang’ meskipun parti itu rebah ketika PRU-14.

Menurut beliau, UMNO perlu ada pemimpin mempunyai ‘faktor wow’ yang mampu mengetengahkan manifesto mendepani pasca Covid-19 dan memperbanyakkan calon-calon muda sekiranya mahu menarik lebih banyak sokongan dan akhirnya mampu menambah bilangan penguasaan Parlimen.

“UMNO perlu tonjolkan perkara sebegini bermula sekarang, itu pun kalau mereka berani membuat perubahan di saat masih terdapat pemimpin tertentu yang masih membuat kenyataan sehingga rakyat jelek.

“Jika mereka bersikap sama iaitu imej elit dan hulubalang, tidak tolak kemungkinan UMNO akan kalah lebih teruk berbanding PRU-14,” katanya.

– UTUSAN

author avatar
Ahmad Fansuri Mohd Nasir
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat