Khidmat Ustaz Don diteruskan selepas keadaan sudah reda – Suhaimi Sulaiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menjelaskan keputusan menyambung semula khidmat Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai pengacara program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, sejak kelmarin, disebabkan keadaan sudah reda.

Suhaimi berkata, tiada siapa yang bersalah dalam isu yang timbul sejak minggu lalu, malah, semua pihak perlu terus melihat ke hadapan dan mencari kejernihan antara satu sama lain, tanpa menuding jari kepada sesiapa.

“Apabila kami rehatkan (Ustaz Don), itu untuk redakan keadaan sebenarnya. Tiada siapa yang salah sebab paling penting, kami mahu orang ramai tidak terus bergaduh dalam media sosial.

“Disebabkan sebelum ini, masing-masing sudah saling menuduh. Jadi, kami ambil keputusan untuk rehatkan Ustaz Don buat sementara waktu demi meredakan keadaan.

“Kami juga tidak mahu program Salam Baitullah terpalit daripada konflik yang timbul,” lapor BH pada Jumaat.

Suhaimi menjelaskan, langkah membenarkan Ustaz Don kembali mengambil tugas pengacara turut dipengaruhi keputusan hasil pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pendakwah itu bagi membincangkan mengenai kontroversi tercetus.

“JAKIM juga sudah adakan perbincangan dengan Ustaz Don. Kami juga akan jalan terus dan cari kejernihan berhubung konflik yang timbul ini. Atas dasar itu, kami lihat semuanya baik-baik sahaja.

“Ustaz Don pun sudah minta maaf kalau dia ada salah atau perkataan digunakan tidak betul. Apabila semua sudah berjumpa dan JAKIM pun terbabit, kita perlu bergerak ke hadapan dan cari kejernihan dalam semua perkara. Jadi, tiada siapa akan rugi,” katanya.

Sebelum ini, Suhaimi mengesahkan Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung di TV1 sejak 2 Jun lalu.

Ustaz Don dilapor direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian netizen membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakan beliau ketika bersiaran di konti stesen radio hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Suhaimi berkata, Ustaz Don akan terus bersama Salam Baitullah sehingga episod akhir pada 17 Jun ini.

“Ustaz Don akan kendalikan Salam Baitullah sampai episod terakhir. Kami dapat maklumat petang semalam (kelmarin) daripada JAKIM bahawa beliau boleh terus bersiaran.

“Pada pertemuan itu, saya tidak ada bersama. Tetapi, seperti apa yang dimaklumkan, semuanya lancar,” katanya.

Salam Baitullah adalah rancangan tonggak RTM yang bersiaran setiap kali musim haji, iaitu kali ini mulai 2 Jun hingga 17 Jun.

Tahun ini, 17 episod program Salam Baitullah disiarkan secara langsung di saluran TV1, Saluran Berita – 123 MyTV dan RTMKlik selama sejam 30 minit mulai jam 9 malam hingga 10.30 malam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat