KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan membabitkan waris Kesultanan Sulu.
Namun begitu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Malaysia ingin memberi jaminan bahawa apa-apa tindakan yang diambil adalah berasaskan undang-undang dan tiada sebarang penindasan terhadap mana-mana pihak.
“Buat masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.
“Malaysia akan terus memastikan naratif yang sahih disebarkan kepada semua orang termasuk komuniti antarabangsa melalui laman sesawang rasmi Kerajaan dan platform tertentu. Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan ini selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.
Anwar berkata, sebagaimana semua rakyat Malaysia sedia maklum, sejak 2019 Malaysia menghadapi tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu (pihak yang membuat tuntutan).
Setakat ini ujar beliau, pihak yang membuat tuntutan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Manakala kata Anwar, Kerajaan Malaysia telah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap tindakan oleh pihak yang membuat tuntutan tersebut.
“Hasil daripada usaha giat tersebut, Kerajaan Malaysia pada 6 Jun 2023 telah menerima satu lagi berita baik bahawa Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan (“Perintah Exequatur”). Perintah ini dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 telah mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan oleh penimbangtara, Dr. Stampa, pada 25 Mei 2020.
“Ini merupakan satu lagi kejayaan penting dan signifikan, dengan izin “landmark decision” bagi Malaysia sekaligus membuktikan kesungguhan serta ketegasan Kerajaan Malaysia dalam mendepani isu ini.
“Kesan daripada keputusan tersebut ialah pihak yang membuat tuntutan tidak boleh bergantung kepada Preliminary Award yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa di Madrid, Sepanyol yang menyatakan bahawa Dr. Stampa mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan keputusan tersebut. Keputusan 6 Jun 2023 tersebut adalah muktamad dan mengikat. Mahkamah Rayuan Paris juga telah memutuskan supaya pihak yang membuat tuntutan membayar kos prosiding sebanyak EUR100,000 kepada Kerajaan Malaysia.
“Malaysia akan meneruskan segala usaha dalam mempertahankan hak kedaulatan negara berkenaan dengan isu ini di semua bidang-bidang kuasa berkaitan termasuk di Belanda, Perancis, Luxembourg dan mana-mana bidang kuasa di mana Final Award tersebut ingin diiktiraf dan dikuatkuasakan,” jelas Perdana Menteri lagi.
Dalam hal ini katanya, kerajaan juga sedang menunggu satu lagi keputusan penting di Mahkamah Rayuan Belanda berhubung permohonan pihak yang membuat tuntutan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Final Award di Belanda yang dijangka akan dikeluarkan pada 27 Jun 2023.
“Walaupun keputusan 6 Jun 2023 telah memihak kepada Malaysia, namun Kerajaan telah mendapat maklumat bahawa pihak yang membuat tuntutan akan meneruskan taktik mereka untuk menguatkuasakan Final Award tersebut di negara-negara lain. Ini merupakan suatu tindakan penyalahgunaan dan pelanggaran mekanisma mahupun proses Mahkamah dan timbang tara yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Saya ingin menegaskan semula pendirian Kerajaan Malaysia dalam Dewan yang mulia ini bahawa penimbang tara, Dr. Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan apa-apa Final Award atau tindakan memandangkan Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikannya sebagai penimbangtara.
“Lanjutan daripada tindakan Dr. Stampa yang tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021 tersebut dan membawa prosiding timbang tara ke Mahkamah Perancis, Malaysia telah memfailkan aduan jenayah terhadap Dr. Stampa di Sepanyol. Pada 25 November 2022, Criminal Investigation Court Sepanyol telah memuktamadkan penyiasatannya dan telah memutuskan supaya peringkat pertuduhan hendaklah dijalankan memandangkan terdapat kemungkinan tindakan Dr. Stampa boleh dikaitkan dengan kesalahan jenayah. Malaysia telah memfailkan hujahan dan sedang menunggu arahan Mahkamah seterusnya,” jelas beliau.
Selain daripada tindakan di Sepanyol dan Perancis, tambah Anwar, pihak yang membuat tuntutan juga telah memulakan prosiding penguatkuasaan Final Award di Luxembourg melalui suatu Perintah Exequatur bertarikh 18 Mei 2022 bagi mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa.
“Sebagai tindak balas, kerajaan telah mengambil tindakan perundangan di Mahkamah Luxembourg bagi mencabar dan membatalkan Perintah Exequatur tersebut. Dalam hal ini, Malaysia sedang menunggu arahan lanjut daripada Mahkamah Luxembourg.
“Kerajaan Malaysia juga ingin menegaskan bahawa semua Award yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa telah melanggar prinsip polisi awam antarabangsa, dengan izin, international public policy, khususnya kerana ia melibatkan pelanggaran prinsip dengan izin, diplomatic immunity, jurisdictional immunity and sovereignty.
“Kerajaan Malaysia juga akan terus membantah sebarang bentuk pembiayaan oleh pihak ketiga, dengan izin, third party litigation funders, yang menyokong penyalahgunaan proses yang telah dimulakan oleh pihak yang membuat tuntutan.
“Kerajaan Malaysia tidak sama sekali akan berkompromi dalam aspek kedaulatan dan keselamatan negara termasuk memfokus kepada keutamaan melindungi aset negara daripada ancaman pihak luar,” tegas Perdana Menteri lagi.
Susulan itu, Anwar mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merangkap Pengerusi Sekretariat Khas dan Ahli-Ahli Sekretariat Khas, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang, Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Peguam Negara, Barisan Peguam yang mewakili Malaysia dan Kementerian-Kementerian yang berkaitan.
Tegas Anwar, ini soal kepentingan dan kedaulatan Malaysia. Ini soal rakyat Malaysia.
“Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia akan terus mara ke hadapan dan berjuang habis-habisan, demi melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa. Saya menyeru rakyat Malaysia sekalian berganding bahu dalam usaha Kerajaan Madani bagi menamatkan, dengan izin, once and for all, tuntutan yang sama sekali tidak berasas,” kata Perdana Menteri.