KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah di seluruh negara minggu depan bagi membincangkan usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga menyatakan pertemuan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dengan semua pegawai daerah adalah komitmen serius kerajaan menangani isu kemiskinan di negara ini khususnya di luar bandar.
“Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu nanti adalah menoktahkan kemiskinan tegar ini. Ia akan dibincangkan dan bagaimana peringkat daerah boleh melaksanakannya,” katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Terdahulu, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) meminta kerajaan menjelaskan mengenai program baharu yang diperkenal kerajaan dalam usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar.
Susulan itu Ahmad menjelaskan, kerajaan sudah meluluskan RM750 juta dalam Belanjawan 2023 untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini dengan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Ekonomi bagi melaksanakan tiga program baharu termasuk pemberian pekerjaan kepada golongan tertentu.
Beliau berkata, selain itu kerajaan memberi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM2,500 bagi bantuan golongan miskin dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah serta mempunyai lima orang anak.
Katanya, tambahan RM1,500 turut disalurkan jika mereka termasuk dalam kumpulan eKasih (seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri).
Kerajaan juga kata beliau, menyediakan latihan termasuk latihan perniagaan bagi membolehkan mereka berdikari agar tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan.
“Kumpulan ini perlu diberi latihan terdahulu kemudian barulah mereka boleh berniaga.
“Kalau mereka berpaut dengan bantuan-bantuan yang ada, sampai bila mereka boleh keluar dari kemiskinan tegar. Mereka perlu dilatih dan menjadi usahawan kecil,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan RM900 juta untuk melatih penjaja dan peniaga kecil melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM330 juta oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Dilaporkan, bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar telah berkurangan daripada 124,744 orang kepada 118,217 orang bagi tempoh 15 Disember 2022 hingga 15 Mei lalu.
Menurut data eKasih, KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 orang kepada 299,080 KIR dalam tempoh yang sama.