Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Adalah Prerogatif Agong – Pengarah Itkas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan mana-mana pihak yang mempertikai prerogatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menganjurkan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu menunjukkan pengabaian prinsip kedaulatan negara dalam mentafsir Perlembagaan.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (Itkas), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata, melandaskan amalan Westminster secara membuta-tuli dan merujuk prinsip kedaulatan di England secara bebas untuk mentafsirkan sistem demokrasi di Malaysia adalah bercanggah dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Sistem demokrasi berperlembagaan di Malaysia tidak mutlak serta tertakluk pada prinsip kedaulatan Raja-Raja dan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Demokrasi berparlimen bukan prinsip kedaulatan negara kita.

“Prinsip kedaulatan negara secara nyata terpasak pada Jadual ke-IV iaitu sumpah Yang di-Pertuan Agong, Perkara 3(1) dan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Selagi tidak dibataskan oleh peruntukan Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk menentukan bagaimana prinsip kedaulatan, iaitu Islam dan suatu pemerintahan yang adil dapat dilaksanakan.

“Perlembagaan Persekutuan menetapkan prerogatif dan bidang kuasa Majlis Raja-Raja begitu juga prerogatif dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang mempersoalkan pendirian Muhyiddin terhadap perbincangan khas Yang di-Pertuan Agong dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun depan.

Hassan turut menimbulkan persoalan sah atau sebaliknya perbincangan khas itu dari segi Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu tegas Wan Ahmad Fauzi, prinsip Keluhuran Perlembagaan dijamin oleh Perkara 4 yang mengatasi nasihat eksekutif, membataskan kuasa perundangan Parlimen dan menetapkan prinsip pentadbiran keadilan.

Jelasnya, ada dua perkara penting yang perlu difahami untuk memahami apa yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan persetujuan Majlis Raja-Raja untuk menghadiri perbincangan khas pada 16 Jun nanti.

“Pertama, mesyuarat Majlis Raja-Raja boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang jatuh di bawah bidang kuasanya.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja boleh dipanggil oleh Penyimpan Mohor Besar atas kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong atau tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis Raja-Raja untuk merundingi apa-apa perkara, termasuklah yang semata-mata berkaitan dengan keistimewaan, kedaulatan, kemuliaan dan Kebesaran Raja-Raja Melayu, atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.

“Dalam perkara-perkara yang menyentuh Perkara 38(4), Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja tanpa perlu mengikut nasihat Perdana Menteri kerana itu secara jelas terjumlah dalam perkara yang dijamin oleh Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Sementara perkara kedua katanya, dalam melaksanakan suatu perkara di bawah prerogatif dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan, baginda tidak tersyarat dengan prosiding mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Baginda mempunyai prerogatif untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja atau siapa sahaja demi memelihara kepatuhan pada sumpah berjawatan Yang di-Pertuan Agong, iaitu Islam dan bagi maksud pemerintahan yang adil.

“Selagi tiada peruntukan secara nyata dalam peruntukan Perlembagaan yang membataskan tatacara pelaksanaannya, prinsip kedaulatan seperti terkandung dalam Jadual IV, Perkara 3(1) dan Perkara 181(1) adalah terpakai.

“Perbincangan khas pada 16 Jun ini merupakan hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk merundingi Raja-Raja Melayu tentang perkara penting yang berada dalam kewajipan baginda di bawah Perlembagaan, bukan di bawah Perkara 38. Justeru, prosiding yang menyentuh urusan di bawah Perkara 38 tidak berkaitan atau mengikat di sini.” katanya.

Ujarnya, apa yang hendak dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun adalah amalan syura yang bertepatan dengan inti pati sumpah jawatan Baginda.

“Justeru, tindakan Yang di-Pertuan Agong dan persetujuan Raja-Raja yang telah memberi perkenan untuk mengadakan perbincangan khas perlu disanjung serta dilihat dari sudut kecaknaan baginda-baginda untuk memelihara kepentingan rakyat keseluruhannya tanpa dibatasi fahaman kepartian,” jelasnya.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat