KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi nampaknya kurang bersetuju dengan idea Pas untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Puad mendakwa Umno sudah serik untuk bekerjasama semula dengan selepas melalui pengalaman pahit.
“Memang betul cakap (Datuk Seri) Shahidan Kassim. Ramai ahli akar umbi mahu “Muafakat Nasional” dihidupkan semula.
“Tetapi sukar dilaksanakan. Pengalaman pahit bersama Pas menyebabkan Umno serik untuk bekerjasama semula dengan Pas.
“Pas ada sıfat iri hati. Parti itu melihat dari sudut kepentingan politik. Patut Umno-Pas kuatkan dulu MN. Tetapi PAS main kayu tiga,” bidas Speaker DUN Johor itu.
Menurut Adun Rengit itu lagi, Pas didakwa bimbang Umno jadi dominan.
“Justeru parti itu sertai PN di bawah Bersatu. Umno sudah hilang kepercayaan kepada kejujuran politik Pas.
“Pas bukan sahaja pernah tinggalkan BN tetapi juga APU, Pakatan Rakyat dan kini PN bermasalah. Maka kalau Pas ada niat untuk hidupkan MN, lebih baik Pas sertai Musyawarah Nasional. Tiada tujuan politik,” tegas Puad.
Musyawarah Nasional ialah platform menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu, ahli profesional, tokoh berpengaruh serta pemimpin pendapat untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan merumuskan penyelesaian terbaik kepada cabaran dihadapi ummah kini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, platform itu juga berperanan sebagai medan menghimpunkan hikmah dan membawa manfaat besar bukan saja kepada umat Melayu dan Islam, tetapi juga masa depan negara secara keseluruhan.
“Hari ini, saya menyerahkan watikah pelantikan kepada lima Pengerusi Teras Musyawarah Nasional yang akan memacu perbincangan dalam bidang kepakaran masing-masing merangkumi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial,” katanya.



