Oleh Zihan Zari
REMBAU – Kursus Generative AI dan Canva boleh memupuk kemahiran kreatif, inovatif dan strategik dalam kalangan pelajar.
Teknologi ini bukan pilihan, tetapi keperluan dan masa depan memerlukan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah berintegriti dan berjati diri.
Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Santuni Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Haji Adnan (SMK DUHA) dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG ) SMK DUHA, YM Dato’ Kamarul YTM Dato’ Hj. Muhamad Sharip; Pegawai Pendidikan Daerah Rembau, Mazlan Abdullah; dan Penasihat Program Santuni IPPTAR, merangkap Pengerusi Puspanita IPPTAR, Hazimah Hj. Samin.
Roslan berkata, penguasaan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi kelebihan penting dalam pelbagai bidang kerjaya, termasuk sektor teknikal seperti automotif yang dijangka turut mengaplikasikan kecerdasan buatan dalam operasinya pada masa akan datang.
Beliau turut menekankan pentingnya keselamatan dalam talian dan memberi peringatan tentang ancaman berita palsu serta jenayah siber.
“Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif Santuni Madani yang dilancarkan IPPTAR pada November tahun lalu, bagi memperkukuh jalinan antara institusi penyiaran, pendidikan dan komuniti setempat, ”katanya dalam kenyataan.
“Kementerian Komunikasi kini giat menjalankan Kempen Internet Selamat ke lebih 10,000 sekolah menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), untuk mendidik masyarakat terutamanya golongan muda mengenai keselamatan digital, ”katanya lagi.
“Peserta kursus diseru agar menjadi pengguna internet yang bijak dan bertanggungjawab, selain menjadikan kursus ini sebagai pemangkin kepada kejayaan masa depan mereka dalam dunia digital yang semakin mencabar, ”tambahnya.
Seramai 40 pelajar dan 10 guru dari tiga buah sekolah menengah di daerah Rembau menyertai Kursus Menguasai Generative AI dan Canva untuk pembelajaran cemerlang melibatkan SMK DUHA, SMK Datuk Abdullah dan SM Agama Haji Mohd Yatim.
Program selama dua hari ini sempena inisiatif ‘1 Kampung 1 Pemimpin: Santuni Madani ’ dianjurkan oleh IPPTAR dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Rembau. – SUARA.TV