Syarikat pengendali kenderaan berat wajib ambil tanggungjawab penuh – Lam Thye

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali kenderaan berat khususnya yang membawa bahan berbahaya seperti batu dan bahan binaan, perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek keselamatan kenderaan dan pemandu.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan, terlalu banyak nyawa telah terkorban akibat kecuaian dalam penyelenggaraan dan pemilihan pemandu yang tidak layak, dan sudah tiba masanya tindakan lebih tegas diambil.

“Syarikat perlu memastikan bahawa kenderaan yang digunakan benar-benar selamat dan pemandu merupakan individu yang kompeten. Bukan yang mempunyai rekod kesalahan lampau. Ini bukan isu kecil, ini adalah perkara asas yang menyentuh soal nyawa.

“Sebelum ini, ramai menyalahkan pemandu semata-mata, tetapi itu pandangan yang sempit. Syarikat juga mempunyai tanggungjawab. Mereka perlu patuh kepada Kod Amalan Industri (ICOP) yang telah digariskan untuk sektor kenderaan berat, termasuk pemantauan tingkah laku pemandu melalui pemasangan sistem GPS,” kata Lam Thye.

Mengulas isu akauntabiliti, Lam Thye mencadangkan agar syarikat yang terlibat dalam kemalangan serius termasuk yang meragut nyawa seperti insiden mengorbankan sembilan anggota FRU pada Selasa dikenakan hukuman lebih berat, termasuk penalti kewangan yang tinggi dan penggantungan lesen operasi.

Beliau turut menyatakan bahawa syarikat yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan harus dikenakan tindakan yang tegas agar kejadian serupa tidak terus berulang.

Malah, Lam Thye turut menekankan perlunya tindakan segera diambil, termasuk penguatkuasaan pemeriksaan yang lebih ketat oleh Puspakom bagi memastikan kenderaan berat di jalan raya benar-benar mematuhi piawaian keselamatan.

“Saya lihat aspek penguatkuasaan undang-undang sangat penting. Jika syarikat tahu mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti denda besar atau penjara akibat kecuaian, saya yakin mereka akan lebih berhati-hati. Kita tidak boleh tunggu tragedi berlaku baru bertindak,” katanya memetik Astro Awani pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar semua cadangan dan laporan terdahulu berkaitan keselamatan kenderaan berat tidak terus dibiar sepi, sebaliknya dilaksanakan segera demi melindungi nyawa pengguna jalan raya.

“Kita masih ingat pada tahun 1990-an, satu kejadian melibatkan anggota FRU turut berlaku akibat kegagalan teknikal. Walaupun siasatan telah dijalankan ketika itu, saya rasa banyak cadangan yang dikemukakan tidak dilaksanakan atau dipatuhi.

“Setiap kali kemalangan berlaku, kita dihadapkan dengan masalah yang sama tingkah laku manusia, kegagalan brek, dan kelalaian dalam penyelenggaraan kenderaan,” kata Lam Thye lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat