Sapura Energy catat untung selepas 6 tahun rugi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sapura Energy Bhd (SEB) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM190 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (TK2025), sekali gus kembali mencatatkan keuntungan selepas 6 tahun.

Prestasi itu menunjukkan lonjakan ketara berbanding kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM509 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

SEB dalam kenyataan berkata, prestasi kukuh berkenaan disumbangkan oleh peningkatan hasil sebanyak 8.9 peratus kepada RM4.7 bilion, selain kejayaan pelaksanaan langkah penstrukturan semula dan penyelesaian kontrak legasi yang mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.

“Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan bagi TK2025 adalah sebanyak RM524 juta,” katanya.

Syarikat itu turut memperoleh pendapat audit tanpa kelayakan daripada juruaudit luar, Messrs Ernst & Young PLT (EY), berdasarkan andaian keupayaan kumpulan untuk terus beroperasi secara berterusan.

Ini bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan, pelaksanaan dan penyempurnaan Pelan Regularisasi sebelum tarikh akhir pada 11 Mac 2026.

EY turut menarik perhatian terhadap ketidakpastian material mengenai kemampuan kumpulan untuk terus beroperasi secara berterusan, memandangkan liabiliti semasa melebihi aset semasa serta kekangan aliran tunai yang sedang dihadapi.

Antara kejayaan utama yang menyokong penyediaan Pelan Regularisasi ialah pelupusan 50 peratus ekuiti dalam SapuraOMV Upstream Sdn Bhd yang dimuktamadkan pada Disember 2024, dengan hasil pelupusan digunakan khusus untuk mengurangkan hutang.

Selain itu, menerusi Kelulusan Skim Pengaturan (SOA) yang diluluskan antara 21 hingga 27 Februari 2025, pelbagai kelas pemiutang menyokong skim berkenaan sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan hutang kumpulan.

SEB turut berjaya mencapai penyelesaian kontrak legasi secara bersyarat membabitkan beberapa kontrak kejuruteraan dan pembinaan yang telah ditamatkan sebelum ini, yang membantu memperkukuh aliran tunai syarikat.

Malah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Mac 2025 meluluskan SOA dan memberikan perlindungan interim daripada sebarang tindakan undang-undang terhadap syarikat sepanjang tempoh penstrukturan.

Pada 4 Mac 2025, SEB menandatangani Perjanjian Pembiayaan Bersyarat bersama Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) untuk pelaburan sehingga RM1.1 bilion dalam bentuk Saham Pinjaman Boleh Tukar Boleh Tebus (RCLS).

Dana itu akan digunakan untuk menyelesaikan liabiliti kepada vendor tempatan dalam sektor minyak dan gas.

SEB kini dalam proses memuktamadkan Pelan Regularisasi dan merancang untuk mengemukakannya kepada Bursa Malaysia pada Mei 2025, lapor BH.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan terhadap halatuju kumpulan, menyifatkan kejayaan pelaksanaan langkah penstrukturan utama sebagai asas kukuh bagi melengkapkan pelan pemulihan syarikat.

Penyata kewangan beraudit bagi TK2025 akan dimuatkan dalam Laporan Tahunan SEB yang dijangka diterbitkan selewat-lewatnya pada 31 Mei 2025.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat