Tugas sukar baiki jalan Persekutuan di Pahang

- Advertisement -

PEKAN – Kerajaan Pahang mengakui berdepan tugas sukar untuk memperbaiki dan menyelenggara jalan raya di negeri ini, kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Ini kerana katanya, jumlah peruntukan dikemukakan kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan tidak diluluskan sepenuhnya.

“Kebiasaanya, apabila kita mengemukakan permohonan (peruntukan), jumlah diluluskan hanya sekitar 40 peratus sahaja daripada jumlah yang kita mohon.

“Jadi, perkara ini menjadi antara masalah utama dan mengganggu kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan raya di Pahang,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran pejabat parlimen Pekan dan dewan undangan negeri (DUN) Bebar, di sini.

Mohammad Fakhruddin bagaimanapun memaklumkan, isu membabitkan kelulusan bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan raya itu tidak hanya dihadapi kerajaan Pahang.

“Peruntukan (keseluruhan) diumumkan kerajaan Persekutuan membabitkan semua negeri dan ia perlu diagihkan secara sama rata.

“Jadi, memang ia tidak mencukupi dan selalunya kerosakan jalan raya membabitkan jalan Persekutuan, permohonan yang kita buat pun untuk kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan ini.

“Kalau membabitkan jalan negeri, tidak ada masalah sangat kerana kita mempunyai peruntukan,” katanya lagi.

Peruntukan bagi kerja baik pulih, naik taraf dan penyelenggaraan jalan negeri membabitkan peruntukan tahunan melalui sistem maklumat rekod jalan raya Malaysia (MARRIS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 April lalu mengumumkan lebih RM400 juta daripada RM5 bilion peruntukan tahunan MARRIS diperuntukkan kepada Pahang bagi memastikan jalan negeri berada dalam keadaan baik.

Pengumuman itu dibuat Anwar ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam Pahang di Kuantan.

Mohammad Fakhruddin turut memaklumkan sebanyak 55 kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya sedang dijalankan di seluruh Pahang ketika ini.

“Ada antaranya sudah siap dan ada yang hampir siap, antaranya di Bulatan Jabor yang kerja baik pulih sudah hampir siap, cuma tinggal untuk cat garisan jalan sahaja.

“Berkaitan jalan di persimpangan Semambu pula, kita akan baiki jalan di situ menggunakan konkrit kerana ia didapati lebih sesuai dan tahan lama,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat