Pemuda Pas dakwa laporan siasatan Azam Baki sudah dibentang di Kabinet, mengapa rakyat dibiar tertanya-tanya?

KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi mendakwa, laporan siasatan membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dikatakan sudah siap, sudah dibentangkan kepada Kabinet dan sudah dirujuk kepada pihak berkaitan. Jadi mengapa rakyat masih dibiarkan tertanya-tanya?

Menurut Adun Sura itu, jika Azam Baki didapati tidak bersalah, tiada sebab untuk laporan itu terus disembunyikan. Jika sebaliknya, lebih tidak masuk akal untuk beliau terus kekal memimpin institusi pencegahan rasuah negara.

“Pemuda Pas masih menunggu tindakan undang-undang kerajaan terhadap Bloomberg yang telah mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya laporan siasatan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, tidak didedahkan segera kepada umum.

“Jika kerajaan di pihak yang benar, mustahil kerajaan melengah-lengahkan tindakan undang-undang dengan dakwaan yang berat sebegini.

“Lebih mengecewakan, keadaan ini bercanggah dengan jaminan Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan mematuhi proses sewajarnya.

“Rakyat menerima kenyataan itu dengan harapan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk membina budaya akauntabiliti. Namun hari ini, apa yang berlaku memberi gambaran yang sangat berbeza,” ujar beliau.

Tengku Muhammad Fakhruddin berkata lagi, Pemuda Pas juga tidak lupa bahawa pada tahun 2022, Anwar sendiri antara tokoh yang paling lantang mendesak agar Azam Baki direhatkan sementara siasatan dijalankan.

“Hari ini, apabila berada di tampuk kuasa, sikap itu berubah sama sekali. Bukan sahaja Azam Baki tidak digantung, malah kontraknya telah tiga kali diperbaharui, dan terkini hasil siasatan pula ditangguhkan daripada pengetahuan rakyat.

“Isu ini bukan lagi sekadar melibatkan seorang individu. Ia telah menjadi ujian besar terhadap kredibiliti SPRM, kesungguhan kerajaan memerangi rasuah, dan imej Malaysia di mata rakyat serta pelabur. Apabila laporan siasatan terhadap tokoh penting seperti ini pun gagal didedahkan secara terbuka, rakyat tentu akan mempersoalkan sejauh mana kerajaan benar-benar komited kepada reformasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Pemuda Pas menuntut beberapa perkara antaranya – laporan siasatan tersebut mesti didedahkan sepenuhnya kepada rakyat tanpa berlengah.

“Jika wujud pelanggaran peraturan atau salah laku, Azam Baki mesti digantung tugas serta-merta sementara tindakan susulan diambil.

“Jika laporan Bloomberg sebuah tuduhan, Kerajaan mesti mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kredibiliti dan maruah kerajaan.

“Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan yang lebih luas, termasuk dakwaan kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang dikaitkan dengan SPRM,” tegasnya.

Menurutnya lagi, Pemuda Pas ingin mengingatkan bahawa kredibiliti, integriti dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan khususnya agensi penguatkuasa mesti diutamakan berbanding survival mana-mana individu.

“Selain itu, reformasi institusi dan tatakelola yang baik tidak tertegak hanya melalui slogan, namun mesti dibuktikan dengan tindakan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat