KUALA PILAH,— Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memulihkan sepenuhnya operasi 14 menara komunikasi yang terjejas akibat insiden vandalisme dan kecurian di Bukit Pilah, Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan media, MCMC menerima laporan daripada CelcomDigi Berhad pada 11 April lalu berhubung gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah. Siasatan awal mendapati gangguan tersebut berpunca daripada aktiviti vandalisme ke atas sebuah menara komunikasi milik syarikat itu di Bukit Pilah. 
Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, sebanyak 13 menara komunikasi lain turut terjejas, sekali gus memberi kesan kepada kira-kira 1,668 pengguna daripada pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi di kawasan berkenaan.
Hasil lawatan tapak bersama CelcomDigi, MCMC mendapati beberapa peralatan penting termasuk Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) telah dicuri, menyebabkan gangguan rangkaian serta menjejaskan operasi menara lain berhampiran. 
Bagaimanapun, kerja-kerja pemulihan telah dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak CelcomDigi dan kesemua 14 menara yang terlibat kini kembali beroperasi sepenuhnya serta menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
Sehubungan itu, orang awam digesa untuk menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi.
MCMC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi negara. Vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi merupakan kesalahan serius di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



