KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Tentera Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, di Bangkok, Thailand, pada 17 April ini.
Kata Anwar, ini merupakan pertemuan pertama selaku Pengerusi ASEAN, dengan beberapa perkara dijangka dibincangkan bersama Min Aung.
Ini termasuk meminta pihak junta melanjutkan tempoh gencatan senjata bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di Myanmar.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Myanmar yang menyambut baik, kerana dengan satu panggilan telefon, terus dia bersetuju (mengadakan pertemuan).
“Walaupun pada 17 April itu, hari cuti agama besar di Myanmar, dia tetap akan berlepas ke Bangkok untuk mengadakan pertemuan dengan saya dan kemudian pulang.
“Jadi, pertama, dia mengiktiraf persahabatan dengan kita. Mereka sedia berbincang walaupun kita tidak boleh bincang untuk meningkatkan kerjasama sebelum beberapa prinsip diterima.
“Umpamanya, saya telefon, saya kata kita nak bantu kerana kita juga jiran dan sebahagian daripada ASEAN, tetapi saya minta supaya diredakan dan dihentikan kegiatan ketenteraan, kerana orang ramai sedang sengsara.
“Dua hari selepas itu, gencatan senjata diumumkan, tetapi, tak semestinya atas usul saya.
“Mudah-mudahan dalam perbincangan pada 17 April ini, saya boleh minta lanjutkan gencatan senjata atas alasan kita hantar pasukan keselamatan dan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) ke sana,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan dan agensi bersama di Dewan Utama, Kementerian Kewangan, di Putrajaya lapor Astro Awani pada Isnin.
Berucap lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan bantuan kemanusiaan di Myanmar melalui pembinaan hospital medan yang akan dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga memaklumkan, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Penasihat Jawatankuasa ASEAN dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra di Bangkok pada tarikh sama (17 April).
Jelas beliau, mesyuarat tersebut bagi mencari penyelesaian berhubung masalah Sungai Golok dan Rantau Panjang, jambatan serta pengorekan dan pembersihan Sungai Golok yang menyebabkan kebanjiran di kawasan Selatan Thailand dan Kelantan.