KUALA LUMPUR – Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad tumpas sekali gus gagal mempertahankan jawatan ketua PKR Tambun pada pemilihan berlangsung, semalam.
Menerusi keputusan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Arafat memperoleh 1,233 undi manakala pemenang Shamsul Kamar Ani mendapat 1,458.
Pemilihan PKR Tambun mendapat perhatian susulan penularan sebuah video berdurasi 1 minit dan 5 saat menunjukkan seorang individu memperkenalkan diri sebagai Kalai mendakwa Arafat menunjukkan pistol kepada ahli sedang merayu undi.
Individu terbabit yang disebut sebagai calon timbalan Ketua PKR Tambun turut memaklumkan bahawa mereka mempunyai bukti kerana disaksikan oleh ramai orang.
Arafat bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Pemilihan di Perak turut menyaksikan Naib Presiden Chang Lih Kang menang tanpa bertanding jawatan ketua PKR Tanjong Malim.
Turut menang tanpa bertanding Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing di Gopeng.
Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim pula menang ketua PKR Padang Rengas dalam pertandingan satu lawan satu dengan Lukman Yahaya.
Setiausaha politik kepada menteri kewangan Anwar Ibrahim itu memperoleh 532 undi, jauh meninggalkan Lukman yang mendapat 85 undi.