1,098 Pusat NADI Diaktifkan Serentak, Perkasa 10,000 Usahawan Komuniti Menjelang Aidilfitri

KUALA LUMPUR, – Sebanyak 1,098 lokasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara diaktifkan serentak menerusi penganjuran Bazar Raya NADI 2026, sekali gus memperkukuh peranan pusat berkenaan sebagai platform pembangunan ekonomi komuniti menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Program di bawah Perkhidmatan Pintar NADI yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan memperkasa usahawan komuniti serta membuka peluang pemasaran lebih luas khususnya menjelang musim perayaan.

Menurut kenyataan itu, edisi kali ini menyasarkan penyertaan sehingga 10,000 usahawan komuniti, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding lebih 5,000 usahawan yang terlibat pada tahun 2025.

Terdahulu, majlis Kick-Off Bazar Raya NADI telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 7 Mac lalu di NADI PPR Kerinchi, sebagai simbolik pelancaran program di peringkat nasional.

Selain NADI PPR Kerinchi, program tersebut turut dipromosikan di lima lokasi tumpuan utama lain iaitu NADI Sungai Tua (Gombak, Selangor), NADI Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 (Ipoh, Perak), Padang Bola Sri Johor 4AB (Kuala Lumpur), Kulai (Johor Bahru) serta NADI Kubang Semang, Pulau Pinang bagi memperluas keterlihatan dan impak program di seluruh negara.

Di Padang Bola Sri Johor 4AB, Bandar Tun Razak, bazar berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Selain aktiviti jualan, lokasi tersebut turut menampilkan pengisian komuniti termasuk Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan internet serta penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

Bazar berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik antara MCMC dengan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.

Kerjasama tersebut bertujuan menyokong aspirasi Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih mampu milik menjelang musim perayaan.

Bazar Raya NADI 2026, yang merupakan kesinambungan daripada edisi tahun lalu, bukan sekadar platform jualan bermusim tetapi sebahagian usaha berterusan MCMC untuk memperkukuh ekosistem ekonomi digital komuniti, merapatkan jurang digital serta meningkatkan daya saing sosioekonomi rakyat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat