KUALA LUMPUR – Majlis Peguam berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menolak permohonan untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam meringankan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan kes SRC International Bhd.
Dalam memorandum rayuannya yang difailkan di Mahkamah Rayuan bulan lalu, Majlis Peguam berkata Hakim Ahmad Kamal Shahid terkhilaf apabila menolak permohonan mereka hanya atas alasan perkara itu tidak boleh diadili di mahkamah.
Katanya, permohonan itu membangkitkan beberapa isu baharu yang sepatutnya disiasat dan diputuskan oleh mahkamah.
“Hakim terkhilaf apabila secara terus menolak hujah pemohon bahawa Perkara 40(1A) yang diperkenalkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada 24 Jun 1994 dengan ketara mengubah undang-undang,” menurut dokumen mahkamah yang dilihat portal FMT.
Majlis Peguam berhujah bahawa sebelum ini, fungsi perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberi pengampunan dan pelepasan dianggap sebagai “prerogatif diraja” yang boleh dilaksanakan secara budi bicara tanpa terikat kepada nasihat Lembaga Pengampunan.
“Bagaimanapun, pindaan tersebut kini mewajibkan baginda untuk ‘menerima dan bertindak mengikut’ nasihat Lembaga Pengampunan.
“Ini bermakna elemen budi bicara peribadi dan prerogatif yang sebelum ini wujud telah dihapuskan,” menurut dokumen yang difailkan oleh tentuan Amir & Rajpal Ghai.
Majlis Peguam turut berpendapat bahawa hakim terkhilaf apabila menyatakan isu tak boleh dicabar itu sudah menjadi undang-undang yang muktamad, tanpa mempertimbangkan perubahan kritikal yang dibawa oleh pindaan tersebut.
Ia juga berkata bahawa duluan keputusan mahkamah yang menetapkan pengampunan tidak boleh dicabar itu adalah berdasarkan kes yang diputuskan sebelum pindaan perlembagaan berkenaan.
“Hakim terkhilaf apabila bergantung kepada kes-kes terdahulu tanpa mengambil kira pindaan tersebut,” katanya seperti dilapor portal berita itu, pada Jumaat.
Majlis Peguam berkata hakim juga terkhilaf dalam mentafsir skop semakan kehakiman. Katanya, mahkamah boleh menyemak keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang secara perlembagaan diberi kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Ia juga menegaskan bahawa hakim terkhilaf apabila mendakwa Majlis Peguam cuba ‘memisahkan’ keputusan Agong daripada nasihat Lembaga Pengampunan, sedangkan itu bukan pendirian mereka.
Majlis Peguam memohon Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi kerana ambang kelayakan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman adalah rendah. Ia juga menegaskan bahawa permohonan mereka bukan remeh dan mempunyai asas yang boleh dihujahkan.
Pengurusan kes rayuan ini dijadualkan pada 3 Mac.
Pada November tahun lalu, Hakim Ahmad Kamal menolak permohonan Majlis Peguam, dengan menyatakan bahawa perkara yang dibangkitkan dalam permohonan semakan kehakiman adalah tidak boleh dicabar di mahkamah.
“Mahkamah berpendapat, nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Justeru, ia bukan perkara yang sesuai dan wajar disemak semula di hadapan mahkamah ini,” katanya.
Ahmad Kamal memutuskan bahawa prerogatif belas kasihan, menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, melibatkan penggunaan budi bicara Agong secara langsung, bukan kuasa yang dipegang atau diwakilkan kepada Lembaga Pengampunan.
“Mahkamah ini menganggap bahawa prerogatif belas kasihan bawah Perkara 42 perlembagaan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman,” katanya sambil mengarahkan semua pihak menanggung kos sendiri.
“Saya berpandangan bahawa percubaan pemohon (Majlis Peguam) membezakan antara mencabar nasihat Lembaga Pengampunan dan keputusan sebenar Agong adalah cacat. (Perkara ini) tidak boleh dicabar,” katanya.
Majlis Peguam memfailkan permohonannya di Mahkamah Tinggi pada 26 April, menamakan Lembaga Pengampunan dan Najib sebagai responden.
Badan itu memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan yang mengurangkan separuh hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. Dia memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.