KUALA LUMPUR – Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Khairuddin Takiri mengingatkan Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad bahawa Pas yang pernah dianggotainya sebelum ini mengamalkan budaya politik matang jauh sekali berkasar.
“Kepada YB Ustaz Idris sahabatku…saya membaca tulisan YB Ustaz hari ini lalu saya titipkan kalam berikut: Sahabatku YB Ust Idris. Tidak perlu sebarang niat untuk berkasar dalam berpolitik.
“Bukankah dulu kita amalkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS). Berkasar bukan budaya kita sementelah bukan pula budaya politik Islam.
“Kalau kepada si kafir diajar berlunak apatah lagi sesama Islam Umno dan Pas,” tegur Khairuddin.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno berkata lagi, Idris jangan pelik apabila Presiden Umno akan mengundang Pas bergabung dalam organisasi yang memfokuskan agenda Islam kerana sebarang permuafakatan mestilah untuk maslahat Islam bukan hanya untuk kepentingan parti sahaja.
“Sekiranya Islam yang kita perjuangkan dalam berpolitik maka marilah kita bergabung atas nama Islam demi kepentingan Islam. Ia nanti membuka jalan pula untuk muafakat parti politik yang sedang ditawarkan oleh Presiden Pas kepada Umno.
“YB Ustaz, Agenda Islam bukan hanya agenda politik kepartian. Ia adalah agenda kerajaan oleh kerajaan perpaduan. Kalau perpaduan ummah yang kita dambakan mari kita bergabung demi Islam bukan hanya demi parti.
“YB Ustaz, janganlah pelik apabila agenda Islam dilaksanakan dengan persetujuan Kabinet kerana Umno hari memacu secara bersama Kerajaan Perpaduan.
“Sebarang agenda kerajaan hendaklah menerusi kelulusan Kabinet. Apabila Kabinet telah memutuskan satu organisasi demi maslahat Islam ertinya seluruh ahli kabinet termasuk DAP telah bersetuju,” ujarnya.
Sekali lagi Khairuddin berkata, agenda Islam adalah agenda berkerajaan bukan hanya agenda parti.
“Inilah beza Umno yang berkerajaan dengan Pas yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.
“YB Ustaz, Marilah kita bersama mendukung apa sahaja inisiatif yang boleh memperkasakan Islam dalam negara kerana itu titik bersama yang kita perjuangkan.
“Apa pun YB Ustaz, sabar dulu. Tunggulah apa yang nak diumumkan oleh Presiden Umno pada Sabtu nanti. Saya jemput YB Ustaz mengikuti rapat penggulungan nanti,” pelawa beliau.



