Ambil alih Pengerusi PN, PAS boleh hilang 37 kerusi, menantu Presiden lahirkan kebimbangan

KUALA LUMPUR, 14 Januari 2026 — Seorang pemimpin PAS yang juga menantu kepada Presiden parti itu tampil memberi amaran terbuka bahawa pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) daripada PAS berpotensi membawa kesan buruk bukan sahaja kepada gabungan berkenaan, malah kepada PAS sendiri.

Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, yang juga menantu kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyuarakan kebimbangan tersebut dalam satu hantaran panjang di media sosial susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Pengerusi PN.

Dalam tulisannya, Zaharudin mengakui beliau berdukacita dengan keputusan Muhyiddin melepaskan jawatan, meskipun menyedari pandangan itu tidak disenangi segelintir pihak yang lebih cenderung melihat PAS mengambil alih kedudukan Pengerusi PN.

Menurut beliau, isu pelantikan Pengerusi PN tidak wajar dilihat secara emosi atau sentimen sokongan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan realiti politik dan kesan jangka panjang terhadap parti.

Zaharudin turut mengingatkan bahawa apa yang disukai oleh penyokong belum tentu membawa kebaikan kepada parti, sambil memetik ayat al-Quran daripada Surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, boleh jadi sesuatu perkara itu disukai, tetapi sebenarnya membawa keburukan.

Mengimbas kembali pengalaman lalu, beliau mendedahkan corak strategi Pilihan Raya Umum ke-13 yang menurutnya memberi kesan besar kepada landskap politik negara, khususnya kemenangan DAP di beberapa kawasan Parlimen.

Katanya, kemenangan besar DAP pada pilihan raya tersebut bukan semata-mata berpunca daripada penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional, tetapi turut dipengaruhi penyertaan PAS secara menyeluruh di kawasan kategori K5 dan K6, iaitu kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Melayu antara 50 hingga 70 peratus.

Menurut beliau, strategi itu menyebabkan undi Melayu beralih kepada PAS, manakala undi bukan Melayu pula tertumpu kepada DAP, sekali gus menewaskan calon MCA atau MIC yang sebelum itu berpotensi menang. Berdasarkan data yang dimilikinya, sekitar 16 kerusi Parlimen DAP didakwa dimenangi melalui corak sedemikian.

Zaharudin turut menyentuh peranan seorang tokoh yang dirujuk sebagai ‘Mr D’, yang menurutnya arif tentang pantang larang strategi pilihan raya tetapi tetap mendorong PAS bertanding secara maksimum tanpa mengambil kira kategori kawasan. Tindakan tersebut, termasuk penyaluran dana dan jentera ke kawasan tertentu, disifatkan beliau sebagai langkah yang akhirnya menguntungkan DAP.

Mengaitkan pengalaman itu dengan situasi semasa, Zaharudin menyatakan kebimbangan sekiranya jawatan Pengerusi PN disandang oleh Presiden PAS Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar. Menurutnya, berdasarkan data dan perbincangan bersama rakan-rakan yang terlibat dalam analisis strategik, PAS berisiko kehilangan sehingga 37 kerusi Parlimen di bawah beberapa senario tertentu.

Walaupun enggan mendedahkan butiran senario tersebut secara terbuka, beliau menegaskan amaran itu dibuat atas dasar pengalaman dan pertimbangan strategik, bukan sentimen peribadi atau persaingan jawatan.

Dalam masa sama, Zaharudin turut menyentuh soal proses membuat keputusan dalaman PAS, dengan menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh segelintir pihak tanpa perbahasan menyeluruh dalam mesyuarat parti tidak akan membawa keberkatan, malah mengulangi pendekatan lama yang menurutnya pernah membawa kegagalan sebelum ini.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya keputusan berkaitan Pengerusi PN dibuat secara rasmi melalui Mesyuarat PAS Pusat dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama, maka ia wajar dihormati. Namun, jika mesyuarat sekadar menjadi platform memaklumkan keputusan yang telah ditetapkan, perkara itu perlu diberi perhatian serius demi masa depan parti.

Kenyataan terbuka Zaharudin itu dilihat sebagai isyarat jelas wujudnya perbezaan pandangan dalaman dalam PAS berhubung hala tuju Perikatan Nasional dan strategi kepimpinan gabungan tersebut menjelang landskap politik yang semakin mencabar. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat