Perwakilan ‘import’ hadir sokong usul tiada pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno – dakwa Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa kehadiran perwakilan ‘import’ atau boleh dikategorikan semua perwakilan ‘hantu’ di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur untuk menyokong usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Menurut Khairy dalam Instagramnya, perwakilan ‘import’ diberi taklimat sebelum pengundian usul dasar parti petang ini.

“Perwakilan ‘import’ diberi taklimat sebelum masuk Dewan Merdeka untuk menyokong usul ‘no contest’,” catat Khairy.

Beliau turut berkongsi rakaman video yang memaparkan perwakilan-perwakilan ‘import’ diberitahu tingkat berapa mereka perlu pergi dan kata laluan.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu sebelum itu menerusi satu rakaman video berkata, beliau difahamkan ‘tag’ atau penanda kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telah pun ditanggalkan.

Keadaan itu, dakwa Khairy berkemungkinan besar bagi membawa masuk pengundi luar bagi meluluskan usul kelapan yang akan berlangsung pada petang ini.

“Jadi petang ini akan ada undian untuk usul dan saya difahamkan akan dilulus.

“Malah, beberapa tag di kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan tanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan lulus usul supaya nombor satu dan dua ini tidak dipertandingkan.

“Saya merayu kepada perwakilan yang ada di dalam dewan, kita jangan biarkan usul ini lulus terutamanya usul tiada pertandingan bagi jawatan nombor satu dan dua parti. Kita bagi perwakilan di bahagian kebebasan untuk memilih, pucuk pimpinan parti yang akan datang,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman TikToknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin telah mengemukakan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi melibatkan Presiden Umno dan Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan dakwaan Khairy adalah tidak benar.

“Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah Khairy. Khairy pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

“Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu.

“Saya saran dengan segala hormatnya supaya Khairy datang sendiri ke Dewan Merdeka sekarang dan tunjuk mana satu perwakilan import yang didakwanya tersebut. Jika tidak, saya harap Khairy dapat meminta maaf kepada semua perwakilan-perwakilan Umno di sini kerana telah menuduh mereka diimport. Dan perlu minta maaf kepada pemeriksa-pemeriksa pas dan skuad sabil Pemuda kerana telah menfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh,” tegas Isham.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, beliau akan membawa tuduhan Khairy ini kepada Lembaga Disiplin Umno dan juga polis.

“Lembaga Disiplin akan ambil tindakan kepada Khairy kerana membuat tuduhan semberono seperti itu.

“Saya akan buat aduan ke Lembaga Disiplin dan polis harap beliau digantung sebagai ahli Umno kerana mengeluarkan kenyataan aib seperti itu,” katanya pada sidang media.

Jamal juga mendakwa Khairy mengupah perwakilan supaya sorak ‘boo’ pada perbahasan semalam.- Suara.TV

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat