KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan kerajaan supaya tidak berterusan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 supaya kredibiliti kerajaan di mata rakyat boleh terhakis kerana menodai undang-undang yang dicipta sendiri.

Hal ini katanya jika rakyat melihat kerajaan melanggar SOP yang diperkenal sendiri maka kredibiliti dan kebolehpercayaan terhadap kerajaan boleh terhakis dan dipandang enteng.

“Isu ini adalah isu penting kerana dalam urusan pandemik ini, apa yang perlu ada dalam kerajaan adalah kredibiliti.

“Apabila rakyat melihat kerajaan sendiri yang melanggar peraturan yang kerajaan sendiri buat, maka kredibiliti dan kebolehpercayaan terhadap kerajaan itu terhakis,” katanya dalam Bicara Naratif Khas, “Menilai Ketegasan KKM” di TV1, lapor FMT.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mengingatkan bahawa rakyat mungkin mengabaikan SOP jika kerajaan terus bersikap sedemikian.

Pada 10 Disember lalu, penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

Kebanyakan mereka hadir untuk membayar saman trafik di kaunter pembayaran saman di kaunter polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan berikutan kedua-dua agensi penguatkuasaan itu menawarkan diskaun 80 peratus bagi kesalahan tertentu.

Majlis itu dianjurkan oleh Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu).

Khairy yang turut menghadiri majlis itu, berkata tiada langkah keselamatan dilaksanakan dan kurangnya penguatkuasaan SOP pada acara selama empat hari itu.

“Sepadu saya lihat sangat lemah dan gagal dalam melaksanakan tugas mereka untuk kempen aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob