Dua Pesawah Wakili Malaysia Ke Konvensyen Pbb Mengenai Perubahan Iklim Di Azerbaijan

- Advertisement -

GURUN, 13 November – Dua  pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan, Kedah, bakal menerima pengalaman berharga apabila diberi peluang mengikuti Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Baku, Azerbaijan bermula 17 hingga 20 November depan.

Ia hasil inisiatif dan kerjasama sebuah syarikat bioteknologi tempatan, Free The Seed Sdn. Bhd. yang berstatus MOSTI BioNexus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, P. Ramaness berkata, langkah untuk menaja sepenuhnya kehadiran dua pesawah itu ke konvensyen berkenaan, merupakan satu bentuk penghargaan kepada golongan pesawah, yang dianggap memainkan peranan amat penting untuk memelihara kelestarian alam.

Dua pesawah tersebut iaitu Abdullah Mohamad, 58, dan Keria Saad, 60, bakal berpeluang melihat sendiri inovasi serta usaha dijalankan di seluruh dunia yang akan dipamerkan pada konvensyen berkenaan.

“Konvensyen itu sememangnya menjadi tumpuan dunia dengan penglibatan lebih 150 negara membabitkan pelbagai pihak antaranya ketua-ketua kerajaan, pemimpin industri, aktivis alam sekitar serta masyarakat pribumi.

“Acara itu akan mendapat liputan daripada media seluruh dunia dan dianggarkan pengunjungnya mencecah antara 80 ribu hingga 100 ribu orang. Pada tahun lalu di Dubai, kehadiran pengunjung ke konvensyen itu adalah seramai 85 ribu orang,” katanya dalam sidang media kilang syarikat tersebut dekat sini, hari ini.

Tambah Ramaness, peluang yang diberikan kepada dua pesawah itu, pihak penganjur sebelum ini ada menghubunginya untuk menawarkan tiga slot bagi berkongsi pengetahuan serta pengalamannya dalam konvensyen berkenaan, berkaitan isu iklim, kitaran ekonomi serta subjek berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Di situ, pelbagai pameran akan diadakan dengan kalangan pengunjung turut berpeluang mengikuti syarahan daripada pakar-pakar dari seluruh dunia. Maka inilah peluang buat kedua-dua pesawah tersebut, mendapatkan idea serta ilmu baharu bagi dikongsikan bersama rakan-rakan lain apabila pulang ke tanah air nanti.”

Katanya, beliau sebelum ini sudah lebih lima kali diberi peluang untuk berbuat demikian dan sentiasa mengimpikan untuk membawa golongan petani negara ini ke konvensyen tersebut, kerana menganggap mereka sebagai ‘barisan hadapan’ yang memainkan peranan besar dalam menjaga kelestarian alam.

“Penyertaan mereka amat penting kerana bidang agrikultur merupakan antara penyumbang terbesar kepada pemanasan global berikutan pengurusan sisa secara tidak teratur yang sering tidak diberi penekanan termasuk melalui pembakaran terbuka.

“Mengenangkan perkara itu, saya telah memohon kepada penganjur untuk membenarkan sekurang-kurangnya dua pesawah Malaysia ke sana. Permintaan itu kemudiannya diluluskan dan kami tidak berfikir panjang untuk menaja sepenuhnya perbelanjaan Abdullah serta Keria ke sana,” katanya.

Sementara itu Abdullah yang juga Pengerusi PPK Pendang Selatan berkata, peluang itu hadir tanpa diduga dengan dirinya amat teruja untuk menyertai konvensyen tersebut.

Katanya, beliau tidak sabar untuk mendalami ilmu baharu di konvensyen tersebut setelah beberapa tahun PPK Pendang Selatan menjalin kerjasama dengan Free The Seed dalam membekalkan jerami bagi menghasilkan produk biodegrasi yang diproses untuk dijadikan pembungkus makanan.

“Ketika ini kami memang menjalin kerjasama yang membawa manfaat besar kepada bidang pertanian dan alam sekitar. Jika dulu jerami padi dibakar secara terbuka selepas musim menuai, kini kami menjualnya kepada Free The Seed sejak 2018.

“Langkah itu tidak hanya menambah pendapatan petani malah turut membawa kesan positif terhadap alam sekitar. Setelah agak lama terlibat dalam usaha ini, kami teruja untuk mengetahui insiatif-inisiatif lain yang dilakukan di negara-negara lain bagi tujuan sama dan perkara itu mungkin dapat dikongsi serta dipraktikkan bersama rakan-rakan pesawah lain di sini nanti,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat