Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya Beroperasi Sepenuhnya Esok – Wee Ka Siong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan kembali beroperasi sepenuhnya pada 6 pagi esok, dua hari lebih awal daripada jangkaan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini, beliau berkata sesi menguji keberkesanan sistem dan keselamatan operasi yang dilakukan semalam menunjukkan bahawa ia stabil.

“Saya juga telah diberi taklimat oleh pihak pengurusan dan pakar teknikal Rapid Rail mengenai ujian yang dilakukan, termasuk menggandakan lagi ujian dengan melibatkan 38 unit tren dari Stesen Gombak ke Stesen Putra Height (end to end) malam semalam hingga awal pagi ini bagi memastikan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat dan sedia untuk pembukaan semula secara penuh,” katanya.

Beliau berkata sesi ujian itu turut disertai Bahagian Penguatkuasaan Rel (RED) dan Bahagian Perancangan Rel (REL) serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan ia menunjukkan sistem kritikal keselamatan stabil tanpa gangguan.

Wee berkata APAD juga mengesahkan kestabilan sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung bermula 9 hingga 15 Nov, susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Mengulas lanjut, Wee berkata pemantauan oleh pakar teknikal Rapid Rail dan pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem.

“Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang untuk ulang-alik ke tempat kerja dan menjalankan aktiviti harian,” katanya.

Pada masa sama, Wee berkata Prasarana diminta untuk terus menyediakan bas perantara di stesen hotspot sebagai langkah persediaan.

“Seperti yang saya telah sebutkan dalam sidang media pada 11 Nov lepas, saya telah meminta pengurusan Prasarana mempercepatkan proses penggantian sistem ATC yang baharu agar masalah seperti ini tidak berulang,” katanya.

Menurutnya bagi pengguna yang terjejas, pampasan tiket selama tujuh hari akan diberikan meskipun pemberhentian perkhidmatan adalah lima hari.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu melancarkan perjalanan penumpang LRT yang terjejas termasuk warga kota yang menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma menggunakan kenderaan sendiri bagi mengangkut penumpang.

“Usaha ini amat dipuji dan bukti kerjasama kita semua sebagai Keluarga Malaysia,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat