Oleh Zihan Zari
BANGI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan penubuhan Pasukan Petugas Standard, Regulatori dan Keselamatan Nanoteknologi (SRSnano) selaras dengan aspirasi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021-2030.
Ketua Setiausahanya, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim berkata, SRSnano ditubuhkan untuk membangunkan amalan dan garis panduan dalam keselamatan nano dan memastikan industri nanoteknologi tempatan kekal mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian di majlis penutup program Nanoteknologi Kebangsaan (nanoKEB) 2024 di Bangi Resort Hotel Off, Persiaran Bandar, Bangi Golf Club, dekat sini pada Jumaat.
Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Ts. Mohd Helme Mohd Helan.
Menurut Ts. Dr. Aminuddin, SRSnano bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras dan memantau program yang berkaitan dengan keselamatan bahan dan produk nano yang melibatkan pembangunan piawaian baharu dan penerimaan piawaian antarabangsa.
Selain itu, menyemak peraturan sedia ada atau membangunkan peraturan dan garis panduan baharu.
Menurutnya lagi, SRSnano akan digerakkan secara serentak oleh empat Kluster Berintegrasi (Integrated Cluster, IC) iaitu IC-Standard, IC-Regulatori, IC-Keselamatan dan IC- Pendidikan.
“Sepanjang dekad yang lalu, Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI telah berjaya menganjurkan nanoKEB dengan kerjasama pihak berkepentingan ekosistem inovasi nano tempatan,”katanya.
Menerusi kenyataan oleh MOSTI memaklumkan, kesinambungan kejayaan diteruskan dalam nanoKEB 2024 dengan berkolaborasi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Antara agensi yang terlibat ialah Asian Nano Forum Organization (ANF), NanoMalaysia Berhad (NMB), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), MIMOS Berhad, Universiti Putra Malaysia (UPM), Malaysian Nanotechnology Association (MNA), Malaysia Nanotechnology Industrial Group (MNIG) dan Progene Link Sdn. Bhd.
“nanoKEB 2024 merupakan platform di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk para penggiat nanoteknologi berkongsi pengetahuan terkini dan amalan terbaik (Best Practices) dalam bidang nanoteknologi melalui persidangan, seminar, mesyuarat, demonstrasi teknologi, pertandingan nanoteknologi dan pameran yang telah diatur secara kolaboratif menggunakan kaedah yang interaktif,”ujarnya.
“Program tahunan ini anjuran Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI sejak 2015 adalah pemangkin kepada peningkatan kesedaran kepentingan nanoteknologi kepada pelajar universiti dan penyelidik nanoteknologi di institusi pengajian tinggi negara serta pihak swasta dan industri.
“Hampir 1000 peserta hadir sepanjang lima hari program ini berlangsung dengan pengisian seperti NEMD2024, iSAMN2024, NANOSYM 2024, ANF 2024 Symposium, ANFoS2024, The 7th EU-Asia Dialogue on Nanosafety, Pasukan Petugas SRS nano Meeting, Nanotechnology Industry and Technical Exhibition, ”ujarnya lagi.
“Nanoverify Sdn. Bhd. telah menerima Sijil Pengiktirafan Badan Akreditasi ISO 17065 daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM), ”tambah kenyataan itu lagi.
Nanoteknologi memberikan banyak penggunaan dan manfaat kepada manusia melalui perubatan, komunikasi, pembuatan dan semua aspek kehidupan masyarakat moden. – SUARA.TV