KUALA LUMPUR- Hasil saringan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan 13 kanak-kanak yang menghuni rumah amal di bawah GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) dipercayai mangsa diliwat.
Daripada jumlah itu, sebanyak empat kanak-kanak dikesan menjadi mangsa liwat melalui hasil siasatan fasa pertama dilakukan PDRM sejak 2011.
Manakala sembilan penghuni lagi dikenal pasti ketika saringan dilakukan PDRM dalam operasi fasa kedua bermula 11 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua kanak-kanak itu dikesan membabitkan penghuni rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.
Kata beliau, rentetan itu, sebanyak empat lelaki ditahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2011
Seorang lagi lelaki pula di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan seorang wanita di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2021.
“Seorang wanita telah kita tuduh semalam dan selebihnya masih dalam tindakan.
“Hasil temu bual yang dilakukan, kanak-kanak ini dipercayai mangsa liwat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) lapor Utusan pada Jumaat .
Menurutnya, semua kanak-kanak itu berusia belasan tahun.
Pada sidang media Rabu lalu di Kuantan, Razarudin berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Razarudin berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam pada itu, Razarudin menafikan dakwaan pihak polis lewat mengambil tindakan ke atas sebarang laporan berkaitan GISBH.
Katanya, siasatan sudah dilakukan sejak 2011, namun tangkapan hanya dibuat selepas terdapat petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan itu dibuat.