UMNO bukan parti komunis, kata Isham Jalil kepada Ahmad Zahid

- Advertisement -

CYBERJAYA – UMNO bukannya parti komunis yang mana ahli tidak boleh berbeza pendapat mahupun mengkritik kepimpinan parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Isham Jalil.

Selain itu, Isham turut mendakwa telah didesak oleh “orang” Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mendiamkan diri ataupun meletak jawatan.

“Dalam Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan yang menyatakan tidak boleh menyatakan pandangan yang berbeza dengan kepimpinan secara terbuka.

“Jika kepimpinan boleh mengkritik ahli secara terbuka, tidak masuk akal jika ahli tidak boleh. UMNO bukanlah parti komunis,” katanya, menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, tiada keperluan bagi Umno untuk mengadakan referendum dalam kalangan ahlinya berhubung kerjasama dengan DAP.

Mengulas cadangan Isham semalam, Ahmad Zahid berkata ia hanya pendapat peribadi dan orang lain tidak boleh dipaksa menerimanya.

“Kenapa perlu referendum? Tak perlu referendum.

“Saya menghormati pendapat peribadi tapi jangan memaksa semua orang menghormati pendapat peribadi itu,” katanya.

Dalam pada itu, Isham berkata pandangan kritisnya bersifat kebimbangan mengenai halatuju parti, dan ia bukan rahsia parti dan bukan strategi sulit, apatah lagi telah kalah teruk beberapa kali dalam pilihan raya.

Malah Isham mendakwa beliau tidak memaksa sesiapa menerima pandangannya, namun gusar jika UMNO kekal tidak berubah dan parti akan rebah.

“Pada mesyuarat MKT sebelum ini iaitu sebelum pilihan raya enam negeri, saya telah mengangkat tangan banyak kali untuk melontar pandangan tetapi tidak dibenar bercakap.

“Apabila orang lain semua telah habis memberikan pandangan dan tiba giliran saya untuk bersuara, Datuk Seri telah menamatkan mesyuarat dan tidak memberi peluang untuk saya bercakap dengan alasan hari sudah lewat.

“Beberapa hari ini orang-orang Datuk Seri memberikan amaran kepada saya supaya meletak jawatan dan menyuruh saya diam. Apa guna saya datang mesyuarat jika tidak dibenar bercakap, disuruh diam dan hanya menadah muka dan telinga,” katanya.

Ujar Isham lagi, beliau menyerahkan nasibnya kepada MKT UMNO yang akan bermesyuarat malam ini untuk menentukan sebarang tindakan terhadap dirinya.

“Dato’ Sri boleh pecat saya dan rakan-rakan saya dari jawatan dan keahlian jika itu keputusan dan kemahuan Dato’ Sri. Tetapi Dato’ Sri tidak boleh pecat semangat dan roh perjuangan saya dan akar umbi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat