KUALA LUMPUR – Sejarah politik negara terlakar hari ini apabila Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memorandum ini, membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.
“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mapan.
“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini,” kata Ismail Sabri.
Perdana Menteri memberitahu, transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi Pemerkasaan Pelan COVID-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Kata Ismail Sabri, kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.
“Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.