Buktikan bukan Islam giat amal rasuah atau Sanusi mohon maaf – DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – DAP mencabar Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya mengemukakan bukti yang mengaitkan masyarakat bukan Islam di Malaysia sebagai pemberi dan penerima rasuah yang terbanyak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, sekiranya Sanusi gagal memberikan bukti atas dakwaannya itu, DAP menuntut permohonan maaf secara terbuka.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab oleh Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional Muhammad Sanusi yang mengaitkan masyarakat bukan Islam di Malaysia sebagai pemberi dan penerima rasuah yang terbanyak.

“Kenyataan “sweeping statement” seperti ini bukan sahaja tidak berasas malah menimbulkan perasaan kebencian di antara kaum dalam masyarakat majmuk kita. Kita mencabar Sanusi untuk mengemukakan laporan mana yang membuat kesimpulan tersebut? Dimana “faktanya”? Fakta berdasarkan kajian apa?

“Kalau tidak dapat memberikan bukti, Sanusi patut memohon maaf secara terbuka,” tegas Menteri Pengangkutan itu dalam kenyataan media, semalam.

Tegas beliau, gejala rasuah perlu diperangi secara bersama dan setiap orang yang terlibat dalam rasuah adalah salah tidak kira latar belakang kaumnya.

Katanya lagi, rasuah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum sama sekali, salah tetap salah tak kira siapa.

“Kenyataan berulangan seperti ini membuktikan bahawa PN adalah perosak kepada keharmonian antara kaum di Malaysia dan perlu ditolak oleh masyarakat majmuk kita demi perpaduan rakyat Malaysia, ” seru beliau.

Dalam siaran podcast Keluar Sekejap baru-baru ini, Menteri Besar Kedah itu mendakwa orang bukan Islam paling ramai ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

Sanusi mendakwa apa yang beliau katakan itu benar dan fakta.

Menjelaskan mengapa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera punca gejala rasuah di Malaysia, Sanusi menuding jari kepada DAP yang mula memainkan naratif bahawa pemimpin Melayu terbabit rasuah.

Ekoran dakwaan Sanusi itu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui aktiviti rasuah membabitkan semua kaum, namun lebih ramai bukan Melayu menjadi pemberi, manakala penerima kebanyakan Melayu.

Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang juga bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata kebiasaan pemberi adalah peniaga yang mahukan sesuatu manfaat yang memberi keuntungan kepada perniagaan.

Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR) itu menegaskan kumpulan pemberi juga adalah mereka yang mempunyai kekayaan berbanding penerima.

Bagaimanapun, beliau yang memegang jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM selama enam tahun bermula 2016 berkata siasatan SPRM tidak menjurus bangsa, kaum atau agama sebaliknya berdasarkan laporan diterima agensi antirasuah itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat