KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menafikan wujud sekatan terhadap seorang individu yang mendakwa dihalang meninggalkan negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Jun lalu seperti tular di media sosial.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sebaliknya ia hanya membabitkan sekatan masuk ke Sabah selaras dengan arahan pihak berkuasa negeri.
“Tiada halangan bagi individu berkenaan untuk membuat perjalanan ke luar negara.
“Namun begitu, sekatan masuk ke Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Biarpun tidak menyatakan identiti individu berkenaan, difahamkan ia merujuk kepada aktivis, Fahmi Reza.
Sebelum ini, media melaporkan Fahmi mendakwa disenarai hitamkan daripada keluar negara selepas dihalang berlepas ke Singapura dan diberitahu bahawa sekatan dikenakan atas arahan Bukit Aman.
Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin kemudian berkongsi di Facebook dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa kerana mendakwa tidak pernah dikenakan larangan sedemikian.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata kekeliruan timbul berhubung isu itu disebabkan perbezaan paparan maklumat antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan di laman rasmi jabatan.
“Hal ini berlaku kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian dan ditutup sementara waktu bagi tujuan itu.
“Semakan teknikal sedang dijalankan secara dalaman bagi memastikan maklumat dipaparkan adalah konsisten dan tepat dalam semua versi bahasa, sekali gus mengelak salah faham dalam kalangan pengguna,” katanya.
Zakaria berkata Imigresen sentiasa komited untuk melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang serta menjunjung prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam semua aspek penyampaian perkhidmatan.