Def Gab C dan Kristal X Bersatu di Konsert “Merah Hitam” @ Zepp KL

- Advertisement -

Cyberjaya – Dunia muzik tempatan bakal digegarkan oleh satu acara yang dinanti-nantikan, apabila dua nama besar dalam industri muzik rock tanah air, Def Gab C dan Kristal X, akan bersatu di pentas untuk konsert yang diberi nama “Merah Hitam.” Konsert berprestij ini dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos 2024, bertempat di Zepp KL, bermula jam 8 malam.

Selepas hampir empat tahun tidak membuat penampilan bersama, Asheed, vokalis utama Def Gab C, meluahkan rasa teruja untuk kembali ke pentas bersama ahli kumpulannya, Jemboo (gitar), Anhtonk (drum), dan Epyn (bass). “Ini adalah detik yang saya nantikan, untuk kembali bergabung dengan rakan-rakan band dan merasakan semula ‘vibe’ yang hanya hadir melalui persembahan kumpulan. Ia memberikan tenaga yang berbeza bukan sahaja kepada kami, tetapi juga kepada para peminat,” kata Asheed yang sebelum ini lebih aktif dalam kerjaya solo.

Bagi Kristal X pula, peluang untuk beraksi di konsert ini juga amat dinantikan oleh Lan, vokalis kumpulan tersebut, bersama ahli kumpulan yang lain iaitu Ainol (drum), Napie (gitar), Amai (bass), dan Ayop (keyboard). “Kami sangat bersemangat untuk ‘all out’ dan memberikan yang terbaik di konsert ini, lebih-lebih lagi ia diadakan di Zepp KL, yang terkenal dengan sistem bunyi dan visual yang hebat,” ujar Lan.

Konsert “Merah Hitam” bukan sahaja menggabungkan dua kumpulan lagenda rock ini, tetapi juga menampilkan hampir 20 lagu malar segar yang pasti mengimbau kenangan para peminat. Tema konsert ini diambil dari lagu hits kedua-dua kumpulan, iaitu “Merah” dari Def Gab C dan “Seragam Hitam” dari Kristal X, yang mencerminkan semangat kolaborasi dan kreativiti mereka.

Menurut pengarah persembahan, Amad, konsert ini akan diwarnai dengan pelbagai elemen artistik yang tersendiri, termasuk tema patriotisme untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan yang juga jatuh pada tarikh tersebut. “Kami berusaha untuk memastikan konsert ini menjadi satu kenangan manis, bukan sahaja dari segi halwa telinga, tetapi juga kepuasan jiwa dan visual,” katanya.

Pengarah Urusan Shoreline Space, Shahrunnizam Jamel, turut menekankan bahawa konsert ini adalah titik tolak bagi syarikat mereka untuk menceburkan diri secara profesional dalam arena persembahan langsung. “Kami komited untuk menyediakan peralatan, sistem bunyi dan visual yang terbaik, dengan sokongan tenaga teknikal profesional, bagi memastikan konsert ini mencapai standard tertinggi,” jelasnya.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert ini, tiket boleh didapati melalui laman web [myticket.asia](http://myticket.asia). Jangan lepaskan peluang untuk menyanyi bersama-sama Def Gab C dan Kristal X dalam satu malam yang penuh nostalgia dan semangat kemerdekaan di konsert “Merah Hitam” @ Zepp KL pada 31 Ogos ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat