KUALA LUMPUR – Tidak ada parti dalam parti dalam Umno seperti didakwa apabila Pemuda Umno berbeza pendapat dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi sebaliknya menegaskan, biarlah Pemuda Umno bebas bersuara namun akur keputusan parti dan tidak meroyan di belakang.
“Ucapan wakil Pemuda Umno amat menarik. Pemuda kena ada pendirian tersendiri. Tidak perlu “jack menjack”. Pendirian berbeza bukan bermakna wujud “parti dalam parti”.
“Dulu Pemuda Umno dicop sebagai “pressure group”. Sebab itu Pemuda perlu identiti baru. Identiti itu mesti menarik minat anak muda. Dr Akmal ada “style” tersendiri untuk melakukannya,” kata Puad pada Selasa.
Jelas beliau, Pemuda Umno perlu berbicara isu yang menangkap imaginasi orang muda.
Katanya lagi, Pemuda Umno perlu kaya ideas.
“Ada yang meroyan Ketua Pemuda Umno dan Presiden Umno berbeza isu DAP kena minta maaf.
“Itu biasa. Biarlah Pemuda bebas bersuara. Tetapi akur keputusan parti dan tidak meroyan di belakang.
“Kita tunggu Kongres Ekonomi Melayu anjuran Pemuda dan Puteri Umno. Umno parti “agenda centric”,” ujar Puad.
Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menuntut DAP memohon maaf kepada parti Melayu itu atas tohmahan yang pernah dilemparkan sebelum ini namun Zahid menyatakan bahawa konflik Umno-DAP telah terlerai selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan.