TELUK INTAN — Waris kepada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragik di Jalan Chikus–Sungai Lampam, bakal menerima bantuan kewangan berjumlah antara RM58,000 hingga RM269,700, lapor Bernama.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sumbangan itu melibatkan pelbagai sumber termasuk tabung kebajikan polis, skim insurans dan koperasi. Bantuan tersebut akan disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga mangsa.
Menurut beliau, antara sumbangan yang akan diterima termasuklah:
-
RM1,200 daripada Tabung Kebajikan PDRM,
-
RM25,000 melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara,
-
RM20,000 menerusi skim ex gratia bencana kerja PDRM,
-
RM11,000 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Selain itu, waris anggota yang mencarum dalam koperasi polis turut akan menerima khairat kematian sebanyak RM1,500, serta pampasan insurans antara RM36,000 hingga RM211,000 bergantung kepada jumlah caruman masing-masing.
“Bagi anggota yang cedera pula, mereka akan menerima pampasan mengikut laporan dan penilaian daripada pakar perubatan,” ujar beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak hari ini.
Ayob Khan turut menjelaskan bahawa sebahagian besar mangsa akan dikebumikan di Perak, manakala seorang lagi akan disemadikan di Kulim, Kedah. Proses bedah siasat yang melibatkan tiga doktor dijangka selesai sepenuhnya pada malam ini.
Jenazah akan dibawa ke Surau IPD Hilir Perak untuk disolatkan sebelum diberi penghormatan terakhir di Markas Unit 5 FRU di Sungai Senam, Ipoh.
Mengulas siasatan kemalangan, beliau berkata laporan penuh akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan kerjasama agensi seperti Puspakom. Pihak polis juga akan mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam insiden tersebut di Mahkamah Teluk Intan esok.
Suspek berusia 45 tahun itu dilaporkan mempunyai enam rekod jenayah lampau, melibatkan empat kes curi, satu kes rogol, dan satu kes berkaitan dadah. Bagaimanapun, menurut Ayob Khan, kesemua kesalahan itu telah menjalani proses penghakiman dan hukuman.
Kemalangan yang berlaku pada jam 8.50 pagi itu membabitkan trak FRU yang membawa 18 anggota pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitra Pournami, sebelum berlanggar dengan lori muatan batu kerikil.
Sembilan anggota maut dalam kejadian itu, termasuk Sarjan S. Perumal, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, manakala sembilan yang lain cedera.