TV AlHijrah sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkukuh penyiaran Islamik negara apabila melancarkan Kempen Program Haji 1446H dengan tema “Menyahut Panggilan-Mu”. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, dan turut dihadiri oleh Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair bin Ngadiron serta Ketua Pegawai Eksekutif, Namanzee Harris.
Tema kempen tahun ini mengangkat semangat ketaatan, pengorbanan dan kerinduan mendalam umat Islam untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci. Menurut Menteri Agama, pelancaran ini bukan sekadar peluncuran kandungan siaran, tetapi menjadi permulaan kepada sebuah perjalanan spiritual dan intelektual buat seluruh rakyat Malaysia. Beliau menyifatkan TV AlHijrah sebagai “jambatan nurani” yang menyampaikan bukan hanya visual, tetapi roh dan penghayatan terhadap ibadah agung ini.
Kempen kali ini tampil lebih segar dengan kandungan bersifat kontemporari, menyentuh jiwa serta relevan dengan minat penonton masa kini. Antara yang bakal disiarkan termasuklah program “Alumni Haji” yang mengetengahkan pengalaman serta tanggungjawab pasca-Haji, “Kisah Mutawif” yang memaparkan sisi kehidupan para pembimbing jemaah, “Labbaikallah 2025” bersama Shamsul Ghau Ghau, dan rancangan pengisian ilmu bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.
Salah satu penawaran utama tahun ini ialah dokumentari “Umrah Yatim Palestin” yang mengikuti kisah menyentuh 750 anak Palestin menunaikan umrah melalui jalan darat, serta telefilem istimewa “Bilal dan Abah” yang menyentuh tema keterbatasan fizikal dan kecintaan kepada Islam. Dibintangi oleh Azhan Rani, Ummi Nazeera dan Luqman Hafidz, karya ini diangkat sebagai sebuah naskhah inspirasi masyarakat.
Dalam satu sesi temubual bersama media, Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair bin Ngadiron mendedahkan bahawa pencapaian luar biasa TV AlHijrah pada Ramadan lalu menjadi pencetus kepada pelaburan lebih besar untuk musim Haji tahun ini. Beliau mendedahkan bahawa buat pertama kalinya, TV AlHijrah berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga saluran paling ditonton dalam minggu pertama Ramadan — satu pencapaian tertinggi sepanjang hampir 15 tahun penubuhannya.
Menurut beliau, pencapaian ini membuktikan bahawa walaupun hiburan dan drama masih diminati, masyarakat sebenarnya terus mendambakan kandungan bersifat spiritual dan kerohanian, asalkan ia disampaikan dengan pendekatan yang segar dan sesuai dengan selera semasa. Beliau menyifatkan pendekatan ‘dakwah kontemporari’ yang diketengahkan TV AlHijrah sebagai formula kejayaan yang menggabungkan elemen moden seperti podcast, talk show, drama serta visual menyentuh jiwa dengan naratif Islamik yang mendalam.
Mohd Khair turut menekankan bahawa masyarakat hari ini semakin matang dan kritikal dalam mencari kandungan kerohanian yang autentik. Justeru, TV AlHijrah mengambil pendekatan mengangkat kisah-kisah manusia sebenar — mutawif, alumni Haji, individu berkeperluan khas — kerana kisah yang personal lebih mudah menyentuh hati penonton. Menurutnya, ini adalah perubahan strategi yang signifikan kerana musim Haji sebelum ini sering dianggap sebagai ruang siaran yang sekadar mengisi waktu antara Syawal dan Aidiladha.
Kejayaan tahun lalu turut membuktikan betapa besar potensi musim Haji sebagai platform dakwah arus perdana apabila keseluruhan kandungan Haji di TV AlHijrah mencatat lebih sembilan juta tontonan, dan peningkatan syer tontonan sehingga 40%. Program seperti “Labbaikallah” dan “Munajat Arafah” mencatat peningkatan rating yang memberangsangkan, manakala “Podcast Haji” berjaya mencatat lebih dua juta tontonan.
Bagi musim ini, TV AlHijrah mengharapkan sambutan yang lebih tinggi berikutan pelaburan dalam produksi dan barisan artis popular yang turut terlibat. Tambahan pula, kempen telah bermula seawal Syawal, berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya yang hanya memberi fokus kepada musim Ramadan dan raya.
Dalam masa sama, program siaran langsung seperti “Interaktif Haji” yang turut bersiaran di TikTok dan Facebook Live, menjadi platform penting dalam menyantuni bakal jemaah dan memberi ruang kepada penonton untuk bertanya dan berinteraksi secara langsung mengenai persiapan ibadah haji. Sambutan luar biasa terhadap program ini menandakan betapa besar keperluan masyarakat terhadap bimbingan yang praktikal dan rohani dalam menghadapi musim haji.
Sebagai penutup, Pengerusi TV AlHijrah menyatakan keyakinan bahawa kempen Haji tahun ini bukan sahaja akan mencipta pencapaian dari segi angka, tetapi lebih penting lagi, meninggalkan kesan mendalam kepada jiwa rakyat Malaysia. Katanya, TV AlHijrah kini bukan sekadar sebuah saluran penyiaran, tetapi sedang berkembang menjadi sebuah madrasah rohani buat rakyat Malaysia — tempat masyarakat mencari hidayah, pengisian jiwa dan jalan kembali kepada Allah SWT.