KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak bersetuju dengan naratif dibawa Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya kalahnya Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan nanti seperti penolakan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malah menyanggah kenyataan dibuat Rafizi itu kerana wujudnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri adalah disebabkan insiden yang berlaku ke atas ‘batang tubuh’ Anwar pada September 1998.
Menteri Dalam Negeri itu bagaimanapun percaya 29,000 anggota parti yang akan mengundi dalam pemilhan parti pada 24 Mei ini sedang meneliti naratif itu sebelum membuat apa-apa keputusan.
“Saya tak melihat begitu (jika Nurul Izzah kalah berlaku penolakan kepada Anwar). Wujudnya parti (PKR) ini disebabkan insiden yang berlaku ke atas tubuh badan dia (Anwar).
“Dalam tempoh itu, dia (Anwar) sudah 11 tahun masuk penjara dan kalau soal ditohmah, dimaki hamun dan diaib ini, tiada manusia yang telah melalui perkara itu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Selasa.
Berhubung gesaan Rafizi supaya anggota parti memilih Nuzul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan nanti, Saifuddin berkata, beliau menyifatkan gesaan itu sebagai sesuatu yang ‘unik’.
“Saya ikuti ucapan tersebut dan saya rasa Rafizi memberikan asasnya di mana dia masuk (bertanding Timbalan Presiden) betul tapi pada masa yang sama dia mengajak.
“Itu uniknya dalam Keadilan (PKR) ini, saya lawan kamu saya ajak perwakilan sokong kamu. Bukan sokong
saya itu unik lah. Mana pernah berlaku dalam mana-mana parti politik lain tapi dalam Keadilan sahaja,” lapor Utusan.
Sebelum ini, Rafizi dalam siri ceramahnya di Kulim, Kedah semalam mengajak perwakilan PKR supaya memenangkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR.
Menurutnya, jika Nurul Izzah tewas dalam pemilihan itu ia boleh mencetuskan naratif atau polemik bahawa anggota parti menolak kepimpinan Anwar.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin menjelaskan keputusannya tidak merebut jawatan nombor dua PKR dibuat demi kepentingan dan kelangsungan parti.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, sebagai pendiri parti, beliau mahu melihat parti ini terus kuat dan stabil kerana pemilihan kali ini berbeza, malah PKR berada dalam kerajaan.
Beliau berkata, tugasnya kini adalah untuk menyederhanakan situasi dalam parti.
“Kerana pendirian yang saya pegang adalah pemilihan dalam parti bukan ‘us versus them’ sebaliknya ‘we are together’.
“Jadi, keputusan yang terbaik buat saya adalah tidak ikut serta pemilihan itu dan keutamaan saya lebih kepada penjaga kestabilan dan menjaga perpaduan dalam parti.
“Itu yang saya fikirkan. Jadi, kerana itu, saya fikir saya tak boleh mempengaruhi keputusan orang lain tapi saya boleh mengawal keputusan saya,” katanya.
Ujar beliau lagi sejurus selepas pemilihan parti pada 24 Mei ini, parti akan terus bergerak dalam Kerajaan Perpaduan tanpa menoleh ke belakang lagi.
Jelasnya, parti sepatutnya mempersiapkan diri untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mana tempoh matangnya pada bulan Oktober ini.
Buat masa ini, katanya, beliau masih Ketua Setiausaha PH yang bertanggungjawab kepada gabungan empat parti terutama dalam mengawal ‘engine room’ Kerajaan Perpaduan.
“Saya juga ahli biro politik dalam parti dan dengan dua tanggungjawab itu, saya masih boleh memberikan peranan,” katanya.