BENTONG – Pelaksanaan rancangan kawasan khas (RKK) dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai sangat penting untuk memastikan proses pembangunan dilakukan dengan lebih tersusun.
Itu antara cadangan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) kawasan berkenaan.
“Kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut berkaitan cadangan ini dengan Majlis Perbandaran Bentong dan saya harap ia boleh dilaksanakan menjelang tahun hadapan.
“Jadi, bila ada RKK ini, kita dapat bangunkan DUN Pelangai secara berperingkat, kita hendak jadikan Simpang Pelangai itu sendiri macam bandar sikit, itulah matlamat kita,” katanya.
Johari berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Aidilfitri DUN Pelangai di dewan FELDA Kemasul, dekat sini, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri akan membantu mendapatkan dana bagi merealisasikan perancangan itu.
“Kita cuba cari dana atau bajet daripada kementerian berkaitan untuk kita buat landskap, dewan yang baharu dan macam-macam lagi, termasuk bangunan rumah kedai,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Johari memaklumkan beliau sedang berusaha untuk memastikan pembinaan jalan Karak-Simpang Pelangai dimasukkan dalam Belanjawan 2024.
Belanjawan itu akan dibentangkan kerajaan Persekutuan pada Oktober ini.
“Berkaitan jalan Karak ke Simpang Pelangai ini, mudah-mudahan akan dimasukkan dalam belanjawan tahun depan, insya-Allah (belanjawan) dibentangkan oleh perdana menteri atau menteri kewangan pada bulan 10 (Oktober) ini.
“Projek ini bukannya ada kaitan politik tapi ia adalah (projek) berkepentingan awam, bukan untuk penduduk setempat sahaja, tapi turut memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dari Kelantan, Terengganu dan juga Negeri Sembilan,” katanya.