Kuala Lumpur :Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar hari ini menggesa anak-anak muda untuk menghasilkan kandungan dakwah di media sosial bagi mendidik rakan sebaya mereka di Facebook, Tik-Tok, Twitter dan Instagram.
Katanya lagi, selari dengan perkembangan industri digital masa kini, pemimpin belia perlu lebih agresif menghasilkan kandungan dakwah yang berasaskan fakta, ilmu, menarik, kreatif serta interaktif. Usaha-usaha ini amat mustahak dilakukan bagi menyantuni golongan muda.
“Sesungguhnya seminar pada hari ini amat signifikan untuk mempersiapkan para belia sebagai pendakwah dan penggerak masyarakat madani. Saya berharap generasi muda dapat menghayati idea Malaysia Madani ini serta turut menyumbang tenaga dan pemikiran bagi menjadikannya sebagai cara hidup yang lebih positif untuk umat Islam di Malaysia.
“Biarlah kita jadi contoh ikutan dan dihormati oleh orang bukan Islam di seluruh dunia. Mungkin selepas ini Pemuda Masjid boleh mengatur program bagi menjayakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan Malaysia Madani serta memahamkan generasi muda tentang konsepnya agar ia diterima baik rakyat termasuk kalangan bukan Islam,” katanya.
Terdahulu Mohd Naim berucap merasmikan Seminar Pembinaan Generasi Muda Masjid Kebangsaan 2023 di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.
Mohd Na’im menambah, bagi memastikan kejayaan “Membangun Malaysia MADANI”, kami diperingkat JPM (Hal Ehwal Agama) telah memperkenalkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau dikenali dengan nama ringkasnya “AL-FALAH”.
“Terdapat 5 Teras dan 10 Fokus Gerak Kerja bagi menjayakan gagasan Malaysia Madani ini. Teras yang dimaksudkan ialah Pentadbiran Islam Mampan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta, Kesejahteraan Insan dan Kehormatan Institusi Islam.
“Sementara 10 Fokus Gerak Kerja pula ialah Pengislahan dasar dan tadbir urus institusi Islam, Kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, Memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam dan Pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti,” ujarnya.
Menurut Mohd Na’im, kita seharusnya menerima hakikat bahawa anak-anak muda kita sedang berhadapan dengan krisis nilai dan moral.
“Hari demi hari, akhlak dan nilai anak-anak muda semakin terhakis. Gejala keruntuhan akhlak, penyalahgunaan dadah, zina dan seribu satu lagi gejala sosial. Oleh yang demikian, inisiatif Dewan Pemuda Masjid Malaysia mengadakan seminar ini, adalah usaha yang sangat terpuji.
“Membina generasi muda masjid adalah agenda yang sangat penting bagi mengukuhkan masa depan institusi masjid di negara kita”, tegasnya lagi.
Seminar Pembinaan Generasi Muda Masjid Kebangsaan yang menghimpunkan para belia agar semuanya mencintai masjid.
Orang yang mempunyai keimanan yang mantap, pasti akan memakmurkan rumah Allah dengan apa jua pendekatan.